Penjawat awam Kedah dapat 'duit raya' RM1,000 bermula 18 April


  • Primer
  • Rabu, 05 Apr 2023

Muhammad Sanusi Mohd Nor meluluskan bantuan yang bakal diberikan kepada penjawat awam di Kedah. — Bernama

SERAMAI 5,100 penjawat awam di Kedah akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 setiap seorang yang akan disalurkan pada 18 April ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata, keputusan untuk meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri itu dibuat menerusi mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikannya, pada Rabu.

"Kelulusan ini melibatkan semua kakitangan awam yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5.1 juta.

"Ini merupakan sedikit tanda ingatan daripada kerajaan negeri kepada kakitangan awam dan bolehlah mereka membeli barangan untuk persiapan raya nanti,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu.

Selain itu, Muhammad Sanusi memaklumkan mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Rabu turut bersetuju untuk melantik Majlis Ketua Kampung (MKK) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).

"Sebelum ini, kita guna Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tapi selepas dimansuhkan, ia ditukar kepada JKKP. Jadi kita ingin kekalkan JKKP tetapi tukar nama baharu kepada MKK sahaja.

"Ia akan melibatkan peruntukan tahunan berjumlah RM13.8 juta bagi membayar elaun kepada MKK ini,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram