'Saya fokus tahun Sanusi jadi MB, bukan era Jepun, British', Nik Nazmi perjelas isu Tanah Rizab Melayu Kedah


  • Politik
  • Selasa, 04 Apr 2023

Nik Nazmi sebelum ini memaklumkan jumlah tanah rizab Melayu di tiga negeri termasuk Kedah mencatatkan penurunan antara tahun 2021 dan 2022.

MENTERI Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad tampil memberikan maklum balas kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung kenyataannya mengenai keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri Kedah.

Ia selepas Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman mengemukakan usul meminta Nik Nazmi dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat dalam isu tersebut.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, turut disertakan dalam penjelasan yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul itu adalah lampiran surat daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kedah mengenai keluasan TRM di negeri itu.

"MB (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) kata tanah rizab Melayu Kedah meningkat dari 1933.

"Namun saya fokus pada tahun beliau jadi MB, bukan era (pemerintahan) British dan Jepun," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.

Ketika sesi di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu, Nik Nazmi memaklumkan jumlah tanah rizab Melayu di tiga negeri termasuk Kedah mencatatkan penurunan antara tahun 2021 dan 2022.

Katanya, jumlah tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas Muhammad Sanusi yang menyatakan keluasan TRM di Kedah menunjukkan peningkatan lebih kurang 408 hektar, iaitu daripada 721,496.949 hektar pada 1933 kepada 721,905.613 hektar setakat Januari 2023.

Kedah Mentri Besar Muhammad Sanusi Md Nor. - Filepic/The Star

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Rekod yang dikongsikan Muhammad Sanusi itu turut dipetik daripada PTG Kedah.

Menerusi surat penjelasan kepada Speaker itu, Nik Nazmi berkata, jumlah keluasan TRM di Kedah sebanyak 716, 537.28 hektar itu adalah berdasarkan maklumat dikemukakan Pentadbiran Tanah Negeri Kedah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bertarikh 30 November 2022.

Katanya, JKPTG tidak menerima sebarang maklumat tambahan daripada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah mengenai maklumat TRM dari tarikh 30 November 2022 hingga 29 Mac 2023.

"Keluasan TRM boleh bertambah dan berkurang bila-bila masa dan JKPTG tidak dimaklumkan perubahan jumlah keluasan TRM negeri Kedah.

"Sehubungan itu, maklumat TRM terkini negeri Kedah tahun 2022 dengan keluasan sebanyak 721,496.95 hektar pada 19 Januari 2023 yang dibangkitkan Ahli Parlimen Sik telah tidak dikongsikan bersama pihak JKPTG," menurut surat maklum balas itu.

Nik Nazmi menjelaskan bahawa segala urusan berkaitan TRM dan pengurusannya adalah urusan pentadbiran negeri dan kerajaan Persekutuan menerima data yang dikemukakan setiap tahun tanpa prejudis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram