Tanah rizab di Kedah meningkat, Sanusi tunjuk bukti sangkal dakwaan Nik Nazmi


  • Politik
  • Ahad, 02 Apr 2023

Menurut Sanusi, rekod daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah menunjukkan bukti yang sebaliknya.

MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil membidas kenyataan dibuat Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung kemerosotan jumlah tanah rizab Melayu di negeri Kedah.

Beliau berkata, rekod daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah menunjukkan bukti sebaliknya.

"Keluasan asal Tanah Rizab Melayu (TRM) di Negeri Kedah pada 1933 mengikut warta Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) ialah 721,496.949 hektar.

"Dari tahun 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan TRM yang dicabut keluar adalah 4,751.369 hektar dan diganti balik seluas 5,160.034 hektar. Ini menjadikan keluasan TRM di Kedah pada Januari 2023 ialah seluas 721,905.613 hektar.

"Angka ini menunjukkan berlaku peningkatan keluasan TRM lebih kurang 408 hektar pada 2023 berbanding keluasan 1933," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan negeri berpegang kepada rekod oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah.

"Hello my friend, next time you try harder aaa .. and dont play play (Hi kawan, lain kali cuba dengan lebih baik. Jangan main-main)," katanya yang merujuk kepada Nik Nazmi.

Ketika sesi di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa memaklumkan jumlah tanah rizab Melayu di tiga negeri termasuk Kedah mencatatkan penurunan antara tahun 2021 dan 2022.

Katanya, jumlah tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram