Tiada Najib disisi, tiada gambar keluarga, Syawal tahun ini tiada erti buat Yana sekeluarga


  • Massa
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Nooryana berasa sedih apabila ayahnya, Najib terpaksa menyambut Syawal di penjara. — Facebook/Nooryana.

SYAWAL tahun ini tidak diraikan seperti tahun terdahulu, malah perasaan sedih menyelubungi keseluruhan ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi Instagram milik anaknya, Nooryana Najwa, ketiadaan Najib amat terkesan dihati mereka sekeluarga termasuk ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor.

YANANAJIB

Tangkap layar luahan Yana di Instagram peribadi miliknya.

Nooryana Najwa atau lebih mesra disapa Yana berkata, lebih sedih apabila ayahnya terpaksa menyambut Syawal di penjara.

"Setiap tahun hari raya disambut bersama keluarga tercinta. Tahun ini amat berbeza buat kami sekeluarga beraya tanpa ayah di sisi. Yana rindu untuk berkumpul bersama keluarga meraikan hari raya dengan cukup meriah," tulisnya.

“Yana amat terkesan apa yang berlaku terhadap ayah sehingga beliau terpaksa beraya keseorangan di penjara.

"Yana juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin buat semua," katanya.

Pada masa sama, Nooryana Najwa turut memuat naik video dan berkongsi kembali momen memilih warna baju raya bapanya.

“Menjelang raya kebiasaannya Yana akan membantu memilih warna baju raya ayah. Kami sekeluarga juga akan mendapatkan kain sepadan warna.

"Ayah juga mengingatkan kami sediakanlah rendang kegemarannya, nak makan dengan lemang resepi Mak Wan dari Seremban belah ibu.

“Sebelum raya, kami semua tentunya akan menziarahi kubur atuk dan nenek. Di pagi raya, kami bersalaman memohon ampun maaf dan semestinya semua hadir bergambar sekeluarga. Tiada sudah tahun ini.

“Apakah erti raya bagi kami tanpa ayah, di mana kemeriahannya, gambar keluarga tahun ini. Raya tahun ini tidak bermakna kepada kami lagi,” katanya.

Najib dihukum 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib dikenakan hukuman sedemikian selepas didapati bersalah terhadap penyelewengan dan pengubahan wang haram dana negara berkaitan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram