SEJAK negara mula membenarkan kemasukan pelancong luar pada April lalu, aktiviti pelancongan yang terjejas teruk ekoran wabak Covid-19 mula pulih berikutan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
Namun, sejak kebelakangan ini, isu kebanjiran 'bagpackers' di Malaysia semakin parah dengan ramai pelancong asing mengemis bagi menagih simpati untuk menampung perbelanjaan percutian mereka.
Tindakan segelintir pelancong warga asing itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat tempatan kerana menyifatkan sikap mereka seperti mengambil kesempatan terhadap rakyat negara ini.
Ini kerana, jika dilihat dari nilai mata wang negara barat sudah tentu lebih tinggi berbanding ringgit.
Terbaharu, warganet hanafisharis berkongsi taktik licik dua pelancong barat yang menjual cenderahati untuk memanipulasi sikap peramah dan pemurah warga tempatan untuk meminta sedekah melalui akaun Tiktok miliknya.
"Macam-macam cara nak survive kan," tulisnya
Kejadian itu dipercayai berlaku di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bermodalkan kadbod dengan tulisan tangan dalam Bahasa Melayu, pengembara bagpackers itu dilihat duduk di kaki lima kedai dan menjual aksesori seperti gelang tangan yang dibuat sendiri.
"Hello, saya mengembara ke seluruh dunia, bolehkah anda menyokong saya," demikian mesej dalam bahasa Melayu yang tertulis di kadbod itu.
Rata-rata netizen menganggap perbuatan mereka menjual barangan sedemikian bagi menampung dana percutian seolah-olah mengemis ihsan orang ramai untuk kepentingan peribadi selain mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah rakyat Malaysia.
"Macam ini la jadinya kalau negara pemurah seperti kita. Kita nak travel tempat diorang, kena buktikan account cukup dan macam-macam dokumen yang mereka minta. Mereka datang sini, mengemis saja sudah cukup," kata YeppeunJangmi.
"Bahaya woo niii. Mereka sudah salah guna pas melancong. kalau dibiarkan nanti macam Bali, Indonesia. Pelancong asing kurang ajar dengan rakyat tempatan," tulis proudlyknowmeasfarah.
"Jangan sokong mereka yang mengemis ini, nak travel dunia tapi minta duit pada orang," kata Daniel Kazuto.
"Seronok betul melancong satu dunia minta duit. Aku ini nak travel balik dari tempat kerja ke rumah pun korek duit syiling kadang-kadang. Jumpa tolong halau, kita miskin jangan tolong orang kaya," kata Imran.
Perbuatan seperti menjual cenderahati, meminta sedekah dan sebagainya perlu diambil tindakan oleh pihak-pihak berkuasa dalam membendung isu ini kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara dalam sektor pelancongan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram