Jho Low dihukum penjara 10 tahun, mahkamah Kuwait arah bayar semula RM4.4 bilion


Jho Low menerima hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Kuwait atas kesalahan pengubahan wang haram.

SEBUAH mahkamah di Kuwait mensabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tanpa kehadirannya pada Rabu atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut laporan akhbar Kuwait, Al-Qabas, seorang sheikh, bersama rakan kongsinya, dan dua warga asing turut dijatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun untuk pertuduhan kes sama, manakala seorang peguam menerima hukuman tujuh tahun.

Mereka juga diarah memulangkan sejumlah dana bernilai AS$1 bilion (RM4.4 bilion) membayar denda berjumlah 145 juta Kuwait Dinar (RM2 bilion).

Akhbar itu tidak menamakan syeikh, rakan kongsinya, mahupun peguam berkenaan, namun hanya menyebutnya sebagai 'dana Malaysia'.

Menurut laporan itu, ia merupakan kes pengubahan wang haram terbesar dengan dua individu warga asing yang dikenal pasti terlibat ialah Jho Low dan ahli perniagaan Syria-Perancis, Bachar Kiwan.

Jelas Al-Qabas, kelima-lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bernilai RM4.95 bilion dengan mengetahui bahawa ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada dana pelaburan Malaysia.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa kes berkenaan telah ditangguhkan selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihak pendakwaan menghadapi halangan mendapatkan maklumat dari luar negara.

jho 1

Jho Low merupakan antara individu utama terbabit dalam skandal 1MDB.

Laporan itu tidak menghuraikan mengenai kesukaran tersebut atau siapa yang terlibat, tetapi Sarawak Report berkata ia menunjukkan kurangnya kerjasama daripada Malaysia.

Sementara itu, Sarawak Report dalam laporannya pada Selasa berkata, dana Malaysia yang dimaksudkan itu membabitkan 1MDB.

Portal berkenaan turut menamakan syeikh berkenaan sebagai Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, anak kepada bekas Perdana Menteri Kuwait.

Manakala rakan kongsinya pula dikenal pasti sebagai sekutu Jho Low iaitu Hamad Al Wazan, dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

Sarawak Report turut mendakwa bahawa pertuduhan itu diteruskan selepas kerajaan Kuwait tidak mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Malaysia.

“Sememangnya, laporan media Kuwait hari ini (Selasa) menjelaskan bahawa perkara ini berlaku, membawa kepada kegusaran kepada pihak berkuasa Kuwait mengenai 'kegagalan menerima maklumat daripada pihak antarabangsa' (yang bermaksud kurang kerjasama dari Malaysia),” katanya.

Pada tahun 2020, The Wall Street Journal melaporkan penyiasat Malaysia menemui jejak wang dari China ke sebuah bank China di Kuwait dan seterusnya ke entiti di Kepulauan Cayman yang dikawal Jho Low.

Dana itu digunakan untuk membayar hampir 1 bilion dolar AS bagi aset yang dikuasainya di Malaysia untuk membayar hutang 1MDB.

Urus niaga itu dilakukan dalam mata wang China, Yuan bertujuan mengelak pemeriksaan daripada pihak berkuasa AS yang sedang menyiasat aktiviti tersebut.

Jho 3

Bachar mendakwa ada menawarkan diri untuk membantu siasatan SPRM. — Agensi

Jho Low menafikan salah laku berkenaan, namun masih tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai dakwaan berkenaan.

Pada tahun lalu, Bachar yang berasal dari Kuwait dilaporkan memberitahu portal Malaysiakini bahawa dia ada menawarkan diri untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, Jho Low didakwa menggunakan syarikat Bachar iaitu Al Waseet untuk aktiviti menggubah wang haram.

Bachar memaklumkan, tindakannya untuk enggan bekerjasama menyebabkan terdapati pegawai kerajaan Kuwait mendakwa dirinya bersama keluarga dan rakan kongsinya, sehingga memaksa dia melarikan diri ke Perancis.

Menurut Bachar, dia percaya dana itu adalah komisen diterima Jho Low daripada firma China yang terlibat dalam projek infrastruktur besar di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram