Rakyat Malaysia di Guantanamo: KDN akui maklum perkembangan terkini


  • Primer
  • Rabu, 29 Mac 2023

Kedua-dua suspek militan warganegara Malaysia itu kini ditahan di penjara Teluk Guantanamo di Cuba.

KERAJAAN mengambil maklum berkenaan perkembangan perbicaraan membabitkan dua suspek militan rakyat Malaysia yang sedang dalam tahanan penjara Teluk Guantanamo di Cuba.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mendapatkan makluman terkini berkenaan perkembangan tersebut daripada Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Katanya, kerajaan akan bersedia dengan perancangan yang sepatutnya jika kedua-dua individu terbabit dipindahkan kembali ke Malaysia.

"Cuma oleh kerana perkara itu belum berlaku (dipindahkan ke Malaysia) , tapi jika berlaku, baru kita aktifkan pelan itu," katanya ketika Sesi Dialog Menteri Dalam Negeri bersama Media, di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, pada Rabu.

JAKD

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Dua rakyat Malaysia terbabit iaitu Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin berhadapan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan masih berusaha mengesan ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .

Katanya, kerajaan juga masih belum menarik semula Notis Merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap ahli perniagaan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas mengenai dakwaan mengatakan kerajaan Malaysia tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan Kuwait, iaitu negara terbaharu yang mensabitkan Jho Low dengan kesalahaan penggubahan wang berhubung syarikat tersebut.

Katanya, ini kerana beliau tidak mempunyai maklumat penuh berhubung dakwaan berkenaan.

Sebuah mahkamah di Kuwait mensabitkan Jho Low tanpa kehadirannya pada Selasa atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung 1MDB.

Memetik laporan akhbar Kuwait Al-Qabas, Jho Low bersama seorang sheikh dan rakan kongsinya termasuk dua lagi warga asing dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun.

Mereka juga diperintahkan untuk memulangkan AS$1 bilion (RM4.4bilion) selain perlu membayar denda berjumlah KD145 juta (RM2 bilion). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram