Leonardo DiCaprio dedah perancangan Jho Low derma RM132 juta kempen Obama 2012


  • Massa
  • Selasa, 04 Apr 2023

Leonardo DiCaprio mengulas mengenai perancangan Jho Low dalam menyalurkan bantuan terhadap bekas presiden AS, Barack Obama.

BINTANG terkenal Hollywood, Leonardo DiCaprio memberitahu juri Washington pada Isnin bahawa pembiaya dari Malaysia, Jho Low mendedahkan rancangannya untuk menderma sehingga ASD$30 juta (RM132 juta) bagi membantu kempen pemilihan semula bekas Presiden Amerika Syarikat, (AS) Barack Obama pada 2012.

"Ia adalah perbualan santai tentang parti yang dia sokong," kata DiCaprio, yang memberitahu juri bahawa Low merancang untuk memberikan derma yang besar kepada Parti Demokrat sekitar ASD$20-30 juta.

"Saya berkata, wah, itu satu jumlah wang yang banyak," ujarnya.

Bintang Titanic itu menjadi saksi dalam perbicaraan Prakazrel 'Pras' Michel, bintang kumpulan hip-hop Fugees yang berhadapan dengan tuduhan jenayah atas dakwaan peranannya dalam kempen pengaruh asing yang ditujukan kepada pentadbiran Obama dan Donald Trump. Namun, Michel telah menafikan dakwaan tersebut.

DiCaprio merupakan salah seorang daripada beberapa tokoh terkenal yang dikaitkan dengan Low, seorang pelarian yang menghadapi pertuduhan jenayah persekutuan berasingan kerana didakwa menggelapkan $4.5 bilion daripada dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Low yang dikatakan membayar selebriti Hollywood untuk berpesta dengannya, turut menyokong yayasan amal DiCaprio dan membantu membiayai filem The Wolf of Wall Street pada 2013 yang dibintangi DiCaprio serta dicalonkan untuk Oscar.

Jabatan Kehakiman pada 2018 mencapai penyelesaian sivil dengan syarikat penerbitan filem itu, dan turut merampas $60 juta (RM 264 juta) yang dipercayai telah dicuri daripada 1MDB.

Sejak itu, DiCaprio telah bekerjasama dengan kerajaan AS.

Dia berjaya keluar masuk mahkamah pada Isnin tanpa dikesan oleh kru berita yang mengintai ketibaannya.

Pendakwa raya mendakwa, Michel bersetuju untuk menyalurkan wang daripada Low ke dalam kempen Obama 2012 dan menyembunyikan sumber dana tersebut. Undang-undang pilihan raya persekutuan melarang orang asing daripada menderma kepada kempen AS.

Mereka berkata, dia kemudiannya bekerja di belakang tabir sebagai cubaan untuk memujuk pentadbiran Trump supaya berhenti menyiasat Low, dan juga bertindak sebagai ejen asing China untuk memujuk pentadbiran agar bersetuju menghantar pulang penentang Guo Wengui.

DiCaprio pada Isnin memberitahu juri bahawa dia mula mengenali Michel sejak 1990-an, ketika dia bertemu dengan Fugees di belakang pentas.

Sebahagian besar keterangannya tertumpu kepada hubungannya dengan Low, yang sebelum ini pernah mengadakan pesta mewah di atas bot dan di kelab malam yang menampilkan bintang Hollywood.

DiCaprio berkata, dia terbang dengan jet peribadi Low bersama kumpulan besar pada malam tahun baharu antara Australia dan Las Vegas.

"Ia bergantung kepada cara anda melihatnya," kata DiCaprio.

DiCaprio berkata, apabila dia pertama kali bertemu Low sekitar 2010, dia melihatnya sebagai seorang individu 'ajaib' dalam dunia perniagaan.

Tambahnya lagi, wakil guamannya sendiri, firma luar dan studio turut menjalankan tiga siasatan berasingan sebelum mencapai perjanjian dengan Low untuk membiayai The Wolf of Wall Street.

"Saya diberi lampu hijau daripada wakil saya, serta studio untuk menerima pembiayaan daripada Low," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram