195 negara masih tidak tahu lokasi Jho Low


  • Primer
  • Rabu, 15 Mac 2023

Jho Low didakwa dengan tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM5.4 bilion. — Awani

SENARAI Notis Merah terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan empat lagi buruan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih aktif, menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Notis yang diperoleh daripada Interpol terhadap kesemua mereka masih berkuat kuasa sehingga kini.

"Bagaimanapun, tiada satu pun daripada 195 buah negara dengan anggota Interpol dapat mengesahkan keberadaan dia (Jho Low) dan sekutunya," kata Menteri Dalam Negeri itu dalam jawapan bertulis kepada Dr Mohamed Taufiq Johari Ahli Parlimen Sungai Petani di Dewan Rakyat pada Rabu.

Saifuddin menambah, polis masih bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang di luar negara seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat dan polis Singapura untuk menjejaki Low dan sekutunya dari Malaysia.

Pada Disember 2018, Low, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo dan Eric Tan Kim Loong telah didakwa meskipun tidak hadir ke Mahkamah Majistret di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Mereka didakwa dengan tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM5.4 bilion.

Mengulas lanjut mengenai bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd (SRC) Nik Faisal Ariff Kamil, Saifuddin berkata, kesnya masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam perkara lain, Saifuddin berkata, kes penderaan kanak-kanak telah mengakibatkan kematian lebih 220 mangsa dalam tempoh lima tahun antara 2018 dan tahun lepas.

“Berdasarkan pecahan, 133 kes melibatkan lelaki manakala 89 kes perempuan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Salamiah Mohd Nor Ahli Parlimen Temerloh.

Menurut Saifuddin, daripada jumlah keseluruhan kes penderaan kanak-kanak yang disiasat, sebanyak 154 telah diselesaikan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram