Selera bukan-bukan, mantan Menteri Agama kata halal makan tapir


  • Massa
  • Khamis, 20 Apr 2023

Tapir atau tenuk halal dimakan kerana ia tidak tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain.

DI sebalik keindahan Ramadan yang mendidik umat Islam untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga serta hawa nafsu, ada pula individu dengan selera luar biasa teringin makan haiwan eksotik seperti tapir atau tenuk.

Walaupun soalan ditanyakan kedengaran aneh, mantan Menteri Hal Ehwal Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil menjawab persoalan yang diutarakan dalam Twitter menerusi satu hantaran dalam sebuah laman sesawang gaya hidup muslim, Maktabah Al-Bakri.

"Macam-macam selera orang kita bulan puasa ni," katanya dalam ciapan di Twitter pada Selasa.

Dalam hantaran tersebut, Dr Zulkfli berdasarkan ulasan para ulama dan pemikir berpendapat, hukum memakan tapir atau tenuk adalah halal kerana ia tidak tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain.

Malah, beliau berkata, haiwan herbivor tersebut telah diburu oleh manusia selama berabad-abad bagi mendapatkan daging dan juga kulitnya.

file7fmttwor7yp1kvxqlgki

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Di Malaysia, tapir atau tenuk termasuk dalam kategori haiwan dilindungi sepenuhnya sebagaimana dinyatakan dalam Jadual Kedua (Seksyen 3), daripada Akta 716 Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang menyenaraikan spesis Tapir Baird (Tapirus bairdii), Tapir Malayan (Tapirus indicus), Tapir Andean atau dikenali juga sebagai Tapir Gunung (Tapirus pinchaque) dan Tamir Amerika Selatan atau dikenali juga sebagai Lowland Tapir (Tapirus terrestris).

"Oleh sebab itu, tidak boleh sewenang-wenangnya memburu, menangkap atau menahan jerat terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan dan hukuman sebagaimana yang telah termaktub di dalam akta berkenaan," katanya dalam hantaran tersebut.

Selain itu, Dr Zulkifli turut menasihatkan rakyat Malaysia tidak terlibat dalam pemburuan tapir atau tenuk meskipun ia halal untuk dimakan.

Katanya, masyarakat bertanggungjawab untuk taat dan menyokong ulil amri dalam hal-hal yang baik, disamping mengelakkan diri daripada disabitkan atau dikenakan tindakan undang-undang.

"Apatah lagi, tapir termasuk dalam hidupan yang semakin pupus dan terancam. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya.

"Semoga ALLAH SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tapir, tenuk, halal, agama, Islam, Dr Zulkifli, pupus, Ramadan