MESKIPUN tidak lagi boleh mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kedai emas tetap menjadi tumpuan masyarakat khususnya umat Islam untuk membeli barangan perhiasan diri menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Tinjauan Majoriti di beberapa kedai emas di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor mendapati premis-premis tersebut tetap diserbu pelanggan seawal pukul 9 pagi.
Pemilik sebuah kedai emas di pusat beli-belah tersebut, Datuk Darus Ghazali berkata, kuasa membeli barangan perhiasan tersebut masih tinggi dan terus meningkat pada minggu akhir Ramadan ini.
Dia yang membuka kedai tersebut sejak empat tahun lalu berkata, lebih 20 corak baharu dikeluarkan sempena Aidilfitri kali ini untuk memenuhi kehendak pelanggannya.
"Bila-bila pun sebenarnya kedai emas akan dikunjungi kerana ada yang beli barang kemas ini untuk tujuan simpanan.
Pelanggan di sebuah kedai emas di Kompleks PKNS Shah Alam, Selangor mencuba gelang emas di tangannya sebelum membeli.
"Tahun ini kita keluarkan lebih 20 koleksi baharu sempena Aidilfitri, dan pelanggan paling banyak membeli rantai emas untuk raya kali ini," katanya kepada Majoriti.
Sementara itu, seorang pelanggan, Zurina Md Shariff, 49, datang ke sebuah kedai emas di Kompleks PKNS, Shah Alam Selangor untuk membaiki gelang tangannya yang putus pada dua minggu lalu.
Katanya, jika wang daripada Akaun 2 KWSP dapat dikeluarkan, dia akan menggunakan sebahagian duit tersebut untuk membeli emas dan dijadikan sebagai simpanan.
"Kalau ada masa susah, kita boleh simpan (emas), nak minta tolong pada orang lain bukan mudah, adik-beradik pun orang susah.
"Malah, saya sendiri menasihatkan anak-anak untuk beli emas jika mampu kerana ia boleh digunakan ketika waktu sukar," katanya juga juga seorang suri rumah.
Nurlela
Bagi Nurlela A. Hassan, 32, yang membeli gelang tangan untuk anaknya, pembelian barang perhiasan tersebut dianggap sebagai pelaburan yang berbaloi untuk masa depan, terutamanya ketika waktu sukar.
"Walaupun harga emas agak tinggi ketika ini, tapi ia sama sahaja makin lama makin mahal.
"Kalau asyik bertangguh nanti rugi kerana ia juga satu bentuk pelaburan," katanya yang tinggal di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram