Kes Covid-19 meningkat, Kedah saran pakai pelitup muka ketika solat Aidilfitri


  • Primer
  • Khamis, 20 Apr 2023

Jemaah di Kedah digalakkan memakai pelitup muka semasa menunaikan solat Aidilfitri. — Gambar hiasan

PEMAKAIAN pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau di seluruh negeri Kedah adalah digalakkan susulan peningkatan penularan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainudin berkata, arahan itu dikeluarkan selaras dengan saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar semua pihak mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan penularan virus Covid-19 dapat dikawal dan dicegah.

Katanya, dengan mengambil kira situasi di mana kontak sosial yang dijangka meningkat sebaik umat Islam seluruh pelusuk negara pulang ke kampung dari pelbagai lokasi dan tempat, maka sewajarnya keadaan ini dipandang serius oleh semua pihak.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar prihatin dan mengambil langkah sewajarya bagi membasmi wabak penyakit ketika menyambut hari raya dan penganjuran rumah terbuka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, semoga usaha ini dapat membantu pihak kerajaan dalam membanteras wabak serta menamatkan rantaian virus Covid-19 daripada merebak.

"Mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia amnya dan di negeri Kedah khususnya dipelihara oleh Allah SWT daripada musibah dandapat meraikan Aidilfitri tahun ini dengan penuh ketaqwaan, sejahtera serta aman damai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram