Aplikasi baharu bakal dilancar, proses dapatkan RM11 bilion wang tak dituntut akan lebih mudah


  • Massa
  • Khamis, 20 Apr 2023

Sebuah aplikasi akan dilancarkan bagi menjejaki wang yang hilang ataupun yang tidak dituntut. — Gambar hiasan

SEBAGAI tindak balas kepada beribu-ribu pertanyaan mengenai wang yang tidak dituntut, sejenis aplikasi baharu akan dilancarkan untuk memudahkan proses orang ramai menjejak dan menuntut semula dana mereka.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, proses untuk menuntut wang itu mungkin agak sukar tetapi ia sangat penting atas faktor keselamatan.

Berkongsi pengalamannya sendiri yang pernah menjadi mangsa, Ahmad berkata, terdapat 14 percubaan penipuan untuk merampas dananya yang tidak dituntut.

“Sebelum ini, ketika saya menjadi Timbalan Menteri Kewangan semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kad pengenalan diri saya menjadi viral kerana ramai pihak yang kecewa dengan saya.

“Ini memberi peluang kepada Ahmad Maslan 'palsu' untuk menggunakan maklumat IC saya bagi mendapatkan semula wang yang tidak dituntut. Wang itu daripada akaun bank yang saya buka kira-kira tujuh tahun sebelum ini,” katanya.

Kini, orang ramai hanya perlu melayari laman web (https://egumis.anm.gov.my/) untuk mendapatkan semula wang mereka yang tidak dituntut.

"Kami faham bahawa orang ramai mahukan proses yang lebih lancar, justeru sebuah aplikasi sedang dalam perancangan," katanya kepada The Star apabila ditanya sama ada mekanisme lain boleh digunakan untuk mengkreditkan wang yang tidak dituntut ke dalam akaun bank individu, sama seperti bagaimana bantuan tunai disalurkan kepada orang ramai daripada kerajaan.

Ahmad menegaskan bahawa tiada ejen atau mana-mana pihak ketiga boleh digunakan untuk mendapatkan wang itu.

Sejak pengumuman bahawa terdapat kira-kira RM11 bilion wang tidak dituntut milik orang ramai setakat Mac, Ahmad berkata, mereka telah menerima kira-kira 50,000 pertanyaan melalui laman web itu.

“Bahagian terbesar wang tidak dituntut adalah daripada akaun bank yang tidak aktif. Selalunya, orang ramai cenderung menukar alamat dan nombor telefon dan mereka tidak dapat dikesan untuk pihak bank memberikan peringatan berkenaan wang dalam akaun mereka.

“Bagaimanapun, yakinlah wang yang tidak dituntut itu disimpan dengan selamat kerana ia adalah tanggungjawab pihak kami terhadap kepercayaan orang ramai.

“Pegawai Jabatan Akauntan Negara (JANM) berada di seluruh negara supaya semua orang boleh mengakses maklumat dan cara untuk melakukannya,” tambahnya.

Bagi mewujudkan lebih kesedaran tentang wang tidak dituntut, JANM akan menyediakan kaunter pertanyaan untuk menjawab segala spekulasi dan membantu orang ramai.

JANM, kata Ahmad, juga sedang meninjau untuk meminda Akta Wang Tidak Dituntut 1965 (Akta 370) dengan tujuan menambah baik proses wang tidak dituntut termasuk mengurangkan tempoh pemindahan daripada 15 tahun kepada 10 tahun sekarang.

Minggu lalu, beliau mengumumkan bahawa daripada RM14.1 bilion yang diterima oleh JANM daripada syarikat atau firma mengikut Seksyen 8 Akta dari 1977 hingga bulan lepas, kira-kira RM3.2 bilion dalam akaun simpanan, insurans dan deposit telah dikembalikan kepada pemiliknya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram