Kes jumpa budak 7 tahun kusut masai disyaki dirogol, polis Manjung tahan 3 individu


  • 112
  • Rabu, 19 Apr 2023

Polis menahan tiga individu dipercayai terlibat dengan kes rogol dan dera kanak-kanak berusia tujuh tahun di Manjung, Perak. — Gambar hiasan

POLIS menahan tiga individu termasuk seorang wanita pada Isnin kerana dipercayai terlibat dengan kes merogol dan mendera seorang kanak-kanak perempuan di Manjung, Perak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Chong Boo Kim berkata, seorang lelaki membawa kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu ke sebuah balai polis di Manjung pada pukul 11.50 pagi Isnin, selepas menjumpai kanak-kanak terbabit di tepi jalan dalam keadaan tidak terurus dan kusut.

"Pihak polis menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan dipercayai mangsa telah dirogol dan didera serta terdapat kesan kecederaan lama dan baharu.

"Sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menahan kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun itu di perkarangan sebuah balai polis pada pukul 9.30 malam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Choong berkata, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman hingga 23 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram