
GARA-gara lewat bayar gaji pekerja, seorang lelaki warga Korea dipukul oleh sekumpulan pekerja binaan di sebuah tapak pembinaan di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Lelaki berusia 53 tahun yang merupakan Pengarah Projek Pembinaan di sebuah syarikat swasta itu mengalami kecederaan lebam dan bengkak sebelum bertindak membuat laporan polis pada pukul 12.40 tengah hari Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, selain laporan polis yang dibuat mangsa, pihaknya turut mengesan empat video yang tular di aplikasi WhatsApp berhubung kejadian tersebut.
"Pengadu kemudian telah membuat laporan polis dan akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam dan bengkak di beberapa anggota badan serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, susulan daripada laporan itu, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
"Polis kemudian menahan dua suspek yang terlibat dalam kejadian terbabit dan dua lagi rakan mereka sedang dikesan turut terlibat dalam kejadian itu.
"Hasil siasatan mendapati, punca kejadian merusuh disebabkan keempat-empat suspek serta pekerja lain tidak berpuas hati disebabkan kelewatan pembayaran gaji pekerja," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang awam yang mempunyai pertikaian supaya menyelesaikannya mengikut saluran undang-undang dan tidak menggunakan sebarang kekerasan yang boleh membawa risiko undang-undang.
Sebelum itu, empat video masing-masing berdurasi dua minit 47 saat, 27 saat, dua minit 3 saat dan 30 saat memaparkan seorang lelaki diserang oleh sekumpulan pekerja di sebuah tapak pembinaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram