[VIDEO] PM Anwar umum cuti tambahan, pengecualian tol Rahmah sempena Aidilfitri


  • Primer
  • Selasa, 18 Apr 2023

Anwar membuat pengumuman itu pada petang Selasa.

KERAJAAN bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan untuk Hari Raya Aidilfitri pada 24 April ini jika 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan, katanya.

Menurut beliau, ia adalah berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi Sabah dan Sarawak, Anwar berkata, Kerajaan Negeri bolehlah mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pengecualian bayaran tol Rahmah juga akan diberikan sempena Aidilfitri bermula dari 19 hingga 21 dan 24 April.

"Pelaksanaan Tol Rahmah Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.

"Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung, ujarnya.

Sementara itu, Anwar berkata, Jabatan Penjara akan melaksanakan pelepasan lebih 1,000 Orang Bebas Berlesen sempena Aidilfitri kali ini di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).

Ujarnya, ikhtiar itu akan memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pada masa sama, Anwar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memberikan Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik PDRM untuk kesalahan 2022 dan sebelumnya.

Jelas beliau, setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada 2023.

"Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram