Usah bimbang, MetMalaysia ramal cuaca panas kembali normal menjelang Aidilfitri


  • Primer
  • Selasa, 18 Apr 2023

MetMalaysia menjangkakan hujan berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara sepanjang minggu ini dan minggu pertama Aidilfitri.

CUACA panas yang melanda negara ketika ini dijangka kembali reda pada minggu ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan diramal akan berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara sepanjang minggu ini dan minggu pertama Aidilfitri.

"Oleh itu, keadaan suhu maksimum harian yang agak tinggi kebelakangan ini di beberapa buah tempat dijangka kembali normal," katanya kepada Majoriti.

Dengan keadaan cuaca tersebut, Muhammad Helmi berkata, diharapkan orang ramai dapat berhari raya dengan rasa bersyukur dan bergembira.

Namun begitu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa sebelum melakukan sebarang aktiviti.

"Dapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia," ujarnya.

Terdahulu pada 15 April, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan cuaca panas dialami negara ketika ini dijangka berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun.

Katanya, cuaca panas itu membabitkan semua negeri dengan bahagian paling terasa adalah negeri di Utara dan Pantai Timur.

Jelas beliau, terdapat juga kawasan di Utara yang berada berdekatan kawasan bersempadan dengan Thailand boleh merekodkan suhu mencecah lebih 37 darjah celcius. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram