[VIDEO] Polis sahkan pemandu sakan berlumba sampai terbabas di Genting Highlands ada 11 saman


  • 112
  • Isnin, 17 Apr 2023

Tangkap layar rakaman sebuah kenderaan terbabas di tepi jalan selepas pemandunya hilang kawalan.

POLIS sudah mengenal pasti pemandu yang terlibat dalam satu video tular yang membabitkan kemalangan sebuah kenderaan jenis Honda di Genting Highlands, Pahang pada Sabtu.

Melalui rakaman video tersebut memaparkan kenderaan tersebut terbabas ketika melalui selekoh di Genting Highlands selepas hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai dipandu secara melulu sehingga terbabit kemalangan.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sudah mengesan pemandu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan dipanggil ke IPD Bentong untuk tindakan selanjutnya.

"Semakan ke atas kenderaan terbabit juga mendapati ia mempunyai 11 rekod saman, semuanya atas kesalahan memandu melebihi had laju," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan kira-kira pukul 7.25 pagi, Ahad di Kilometer 14.6 Jalan Genting Highlands, Bentong sebelum satu rakaman kejadian itu ditularkan di media sosial.

"Berdasarkan rakaman video yang tular, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Serdang, Selangor ke Genting Highlands.

"Apabila sampai di selekoh, pemandu kereta terbabit memotong sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri di sebelah kiri jalan. Pemandunya terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Menurut Zaiham lagi, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung wujudnya elemen perlumbaan dalam kejadian itu.

"Kita akan siasat elemen itu apabila pemandu terbabit hadir ke IPD Bentong untuk dirakam keterangan nanti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram