
AKIBAT tidak berpuas hati dengan isu penggunaan isyarat lampu kenderaan, seorang lelaki bertindak agresif sehingga menumbuk seorang pemandu lain dalam kejadian di Labuan pada 12 April lalu.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila mengesahkan menerima laporan daripada mangsa pada hari sama berhubung insiden tersebut yang berlaku berdekatan lampu isyarat di Jalan Patau-Patau di wilayah berkenaan.
"Dalam kejadian tersebut, suspek yang keluar daripada kenderaan bertindak menumbuk ke muka mangsa beberapa kali kerana marah berkaitan penggunaan isyarat lampu kenderaan sebelum masuk ke jalan sebelah kanan.
"Isteri mangsa turut ada bersama pada masa kejadian menyebabkan mangsa ketakutan.
"Akibat kejadian, mangsa luka di bahagian dahi, pendarahan pada hidung dan juga sakit pada bahagian mata. Kenderaan mangsa juga mengalami kerosakan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Ahad, tular satu video dan beberapa keping gambar mengenai kejadian tersebut yang turut memaparkan keadaan mangsa yang ditumbuk.
Ahmad berkata, susulan laporan yang dibuat, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan pada pukul 3.45 petang Ahad bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, ugutan jenayah serta khianat," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram