Gaduh di pusat hiburan JB, 2 lelaki ditahan, 5 lagi diburu


  • 112
  • Isnin, 20 Feb 2023

Tangkap layar video seorang lelaki dipukul beramai-ramai oleh beberapa individu.

DUA lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah pusat hiburan di Jalan Nusa Bestari 7/2, Taman Nusa Bestari, Skudai, Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian yang tular menerusi media sosial itu berlaku pada 4 pagi dan dipercayai berpunca daripada pergaduhan mulut ketika mereka sedang minum di pusat hiburan tersebut.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kedua-duanya berjaya diberkas di sekitar Larkin, Johor, kira-kira 12.10 tengah malam Isnin.

"Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes pergaduhan dan mengatakan kejadian mula berlaku di dalam sebuah pusat hiburan.

"Kedua-duanya adalah kenalan dan pergaduhan berlarutan sehingga ke luar pusat hiburan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pergaduhan itu turut melibatkan lima individu lain yang kini sedang dikesan.

"Polis menggesa orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenainya tampil memberikan keterangan,” katanya.

Rahmat berkata, kedua-dua lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sejak Ahad tular video berdurasi tujuh saat di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan seorang daripadanya yang tidak memakai baju terbaring di tengah jalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram