Tiada unsur jenayah dalam tragedi pesawat terhempas 'Double Six'


  • Primer
  • Khamis, 13 Apr 2023

Laporan akhir kemalangan mengenai nahas itu didedahkan kepada umum oleh Kementerian Pengangkutan pada Rabu, iaitu 47 tahun selepas tragedi itu berlaku.

TIADA unsur jenayah dikesan wujud dalam nahas pesawat terhempas atau lebih dikenali sebagai tragedi 'Double Six' yang mengorbankan 11 individu di Sabah pada 1976.

Sebaliknya, laporan yang baru didedahkan mengenai insiden itu menyatakan bahawa ia berpunca daripada kesilapan juruterbang, Kapten Gandhi Nathan.

Antara kesilapan didapati berlaku adalah pesawat tersebut hilang keseimbangan sehingga menyebabkan kedudukan pusat gravitinya berada di luar had bahagian belakang pesawat.

Situasi itu berkemungkinan menjadi punca pesawat itu menjunam ke arah bawah ketika ia menghampiri landasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah.

Laporan itu juga berkata, juruterbang terbabit berkemungkinan keletihan selepas bekerja melebihi waktu ditetapkan.

Menurutnya, tiada bukti sabotaj, kebakaran atau letupan dalam insiden itu yang turut mengorbankan Tun Fuad Stephens, pemimpin yang ketika itu baru sahaja menjadi ketua Menteri Sabah selama 53 hari.

Individu lain terkorban dalam nahas itu ialah barisan Menteri Sabah terdiri daripada Datuk Salleh Sulong, Datuk Peter Mojuntin dan Chong Thien Vun serta pembantu Menteri Sabah, Darius Binion.

Turut terbabit ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah Datuk Wahid Peter Andu dan Isak Atan (Setiausaha Sulit, Tengku Razaleigh Hamzah, yang ketika itu Menteri Kewangan); Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah, Syed Hussein Wafa; Pengawal Peribadi Fuad, Koperal Said Mohammad; anak sulung Fuad, Johari serta juruterbang.

Laporan akhir kemalangan mengenai nahas itu didedahkan kepada umum oleh Kementerian Pengangkutan pada Rabu, iaitu 47 tahun selepas tragedi itu berlaku.

Laporan itu yang ditandatangani penyiasat utama, Omar Saman menyatakan tiada bukti sebarang kegagalan fungsi atau kerosakan terhadap pesawat atau enjinnya sebelum nahas.

Sebaliknya, ia memberikan indikasi berlaku beberapa siri kesilapan dan kecuaian juruterbang, kekurangan pemantauan protokol ketat oleh syarikat (Sabah Air) dan langkah pengisian muatan pesawat yang tidak betul.

Kesemua petunjuk itu dipercayai adalah punca di sebalik nahas yang terjadi di perairan Sembulan ketika pesawat itu menghampiri lapangan terbang Kota Kinabalu dari Labuan pada 6 Jun 1976.

Laporan itu menjelaskan faktor juruterbang hilang kawalan terhadap kapal tersebut ialah akibat pengagihan muatan yang tidak betul dan bukannya pembawaan muatan melebihi had.

Katanya, juruterbang itu didapati "tidak mempunyai tabiat untuk melengkapkan banyak keperluan atau prosedur diminta syarikat, hanya sekadar berjalan-jalan di sekitar pesawat ketika di Labuan dan duduk di kokpit apabila proses pengisian barangan terakhir selesai, tanpa menyedari situasi pengagihan muatan yang salah”.

Double six

Tragedi 'Double Six' menimbulkan tanda tanya sekian lama dalam kalangan rakyat Sabah dengan ramai mengesyaki berlakunya sabotaj atau perbuatan jenayah dalam kematian Fuad dan menteri Kabinetnya.

“Dengan latar belakang penumpang VIP yang menaiki pesawat dan beberapa orang kenamaan lain, terdapat kemungkinan juruterbang tidak mempunyai kuasa untuk mengawal jumlah muatan.

“Sudah tentu tidak diketahui apakah tekanan yang dihadapi juruterbang dengan status penumpang sedemikian untuknya meneruskan penerbangan.

“Oleh itu, penerbangan terakhir 9M-ATZ berlepas pada pukul 3.09 petang dari Labuan tidak berlebihan berat tetapi melampaui had pusat graviti bahagian belakang, dengan juruterbang mungkin berada di bawah sedikit tekanan untuk kembali ke Kota Kinabalu kerana berasa sakit dan mungkin keletihan,” menurut laporan bertarikh 25 Januari 1977 itu.

Laporan itu juga menyatakan juruterbang gagal mematuhi ketetapan kawalan trafik udara (ATC) Kota Kinabalu untuk memberikan laporan selepas melepasi ketinggian 2,000 kaki.

Dia tidak memberi respons bagi pelepasan pendaratan oleh ATC yang diberikan sebanyak dua kali.

Laporan itu juga menyatakan bahawa kedudukan ekor pesawat didapati berada dalam posisi yang tidak normal.

“Tiada cara untuk menentukan kedudukan ekor pesawat ketika fasa penerbangan, tetapi kemungkinan besar posisi itu ditetapkan sebagai pendekatan awal pada kedudukan sayap 20 darjah.

"Ia sepatutnya jelas kepada juruterbang bahawa kedudukan ekor pesawat ini tidak normal dan mungkin disebabkan masalah pemuatan," kata laporan itu.

Siasatan mendapati bahawa pesawat itu diselenggara mengikut jadual penyelenggaraan yang diluluskan.

Bagaimanapun, maklumat muatan tidak disediakan, dengan dokumen mengenai penumpang tidak dilengkapkan, kata laporan itu.

Penerbangan tersebut sedang dalam perjalanan meninggalkan Labuan ke Kota Kinabalu apabila ia terhempas di Sembulan.

Siasatan hampir lima bulan oleh Jabatan Penerbangan Awam tidak pernah didedahkan kepada umum kerana kerajaan mengklasifikasikannya di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Satu-satunya kenyataan rasmi mengenai nahas itu dikeluarkan pada 28 Oktober 1976 oleh Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu Mohd Ali Sharif yang berkata, nahas itu disebabkan kesilapan juruterbang dan lebihan muatan.

Dia juga menolak kewujudan unsur sabotaj atau sebarang kerosakan mekanikal pesawat.

Kejadian nahas itu telah lama menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat Sabah dengan ramai mengesyaki berlakunya sabotaj atau perbuatan jenayah dalam kematian Fuad dan menteri Kabinetnya.

Fuad, yang merupakan Ketua Menteri pertama Sabah dari 1963 hingga 1965, membuat kemunculan semula dalam politik selepas beliau mengetuai Parti Berjaya menewaskan kerajaan Usno di bawah Tun Datu Mustapha Harun pada pilihan raya negeri April 1976.

Berikutan kematian Fuad, Tan Sri Mohd Harris Salleh dilantik menjadi Ketua Menteri.

Harris berkata, tindakan menyahklasifikasi laporan itu akan menamatkan tuduhan berhubung penglibatannya dalam tragedi itu.

Harris sebelum ini menang dalam tuntutannya di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu agar kemalangan itu didedahkan kepada umum awal tahun ini, namun pejabat Peguam Negara memutuskan untuk merayu keputusan tersebut.

Beliau tidak segera mengulas mengenai pendedahan laporan tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram