Kes 13 motosikal terbakar: Polis tahan seorang lelaki beberapa jam selepas kejadian di KL


  • 112
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Dilaporkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik musnah dalam kebakaran di hadapan sebuah pusat beli-belah popular di Kuala Lumpur pada petang Khamis.

SEORANG lelaki berusia 34 tahun ditahan berhubung kes kebakaran yang memusnahkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik di hadapan sebuah pusat beli-belah popular di Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek ditahan dalam tempoh beberapa jam selepas kejadian tersebut dan direman sehingga 19 April.

“Kita turut merampas pelbagai barangan termasuk motosikal, topi keledar, beberapa helai pakaian, sepasang sarung tangan dan pemetik api.

“Kami menyiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurutnya, polis masih menyiasat motif dan punca kejadian.

“Kami menerima 10 laporan polis berhubung kejadian itu.

“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

bomba1

Keadaan motosikal yang rentung selepas kebakaran berjaya dipadamkan. — Bomba

Dilaporkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik musnah dalam kebakaran di hadapan sebuah pusat beli-belah popular di Kuala Lumpur pada petang Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, dalam kejadian pada pukul 3.45 petang itu, seramai 15 anggota bomba bersama tiga jentera dari balai bomba Tun Razak dan Keramat bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati sembilan motosikal dan empat skuter elektrik terbakar sepenuhnya, manakala empat lagi motosikal terbakar antara tiga hingga 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu, api berjaya dikawal pada jam 4.04 petang dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian yang terlibat masih dalam siasatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram