LAPORAN siasatan akhir nahas pesawat Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens kini dikelaskan sebagai dokumen terbuka dan ia boleh diakses di laman web Kementerian Pengangkutan bermula Rabu.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, beliau telah mengelaskan semula laporan tersebut sebagai dokumen terbuka dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.
Beliau berkata, proses untuk menyahklasifikasi laporan tersebut telah selesai pada 6 April lepas selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan laporan tragedi yang turut digelar ‘double six’ itu dinyahklasifikasi pada 5 April.
"Mulai hari ini, laporan lengkap tersebut dapat dimuat turun dari laman web rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia di: Https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, laporan siasatan akhir kemalangan udara Nomad N22B 9M-ATZ disiapkan pada 25 Januari 1977 dan kemudian dibentangkan ke Jemaah Menteri pada Mac 1977.
"Namun begitu, hasil siasatan laporan tersebut tidak pernah diumumkan. Oleh demikian, selama hampir 47 tahun ahli keluarga mangsa-mangsa yang terlibat tidak dapat mengetahui fakta dan sebab di sebalik nahas kemalangan udara tersebut,” katanya.
Sebanyak 11 nyawa terkorban dalam tragedi Double-Six termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu iaitu Fuad (Ketua Menteri Sabah); Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Turut terkorban adalah Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).
Selain itu, Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban.
Loke berkata, setiap insiden penerbangan haruslah disiasat secara telus dan menyeluruh untuk menerap kepercayaan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam membina sebuah industri penerbangan yang berkredibiliti dan menepati piawian tertinggi.
"Kementerian Pengangkutan komited untuk meneruskan dasar keterbukaan ini,” katanya yang turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi ‘double six’.
Anwar pada 5 April lepas berkata, keputusan mendedahkan laporan akhir tragedi ‘double six itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan oleh keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian berkenaan.
Dalam kejadian tersebut, pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air membawa rombongan berkenaan yang dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.
Pada 8 Mac lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk dinyahklasifikasi berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram