Hanya kerana tayar, pemandu lori maut tercampak dari jambatan di lebuh raya PLUS arah JB


  • 112
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Siasatan awal mendapati lori terbabit cuba mengelak sebiji tayar yang berada atas jalan sehingga ia terbabas dan terbalik melanggar besi pembahagi jalan. — Facebook/Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

MALANG tidak berbau apabila seorang lelaki maut selepas lori dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik ketika mengelak sebiji tayar atas jalan di Kilometer 68.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di Kluang, Johor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada pukul 2.30 pagi itu melibatkan lori jenis Isuzu, treler jenis Volvo dan kereta Honda Civic semasa ketiga-tiga kenderaan bergerak dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai cuba mengelak sebiji tayar yang berada atas jalan sehingga ia terbabas dan terbalik melanggar besi pembahagi jalan.

"Treler yang membawa muatan simen dan kereta berkenaan yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar lori yang telah terbalik atas jalan.

"Akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori terjatuh ke dalam longkang pembahagi jalan dan pemandunya cedera parah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Bahrin berkata, pemandu lori tersebut, Muhammad Saifuddin Md Lazan, 35, yang beralamat di Muar cedera parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun katanya, pemandu treler, K Mani, 68, yang beralamat di Karak, Pahang dan pemandu kereta, Wong Zi Sheng, 26, beralamat di Batu Pahat tidak mengalami sebarang kecederaaan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

WhatsApp Image 2023-04-14 at 11.36.46 AM

Pihak bomba membawa naik mangsa yang terjatuh ke bawah jambatan di Kilometer 68.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan di Kluang, Johor pada Jumaat. Facebook/Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, seramai sembilan anggota dari balai berkenaan bergegas ke lokasi kejadian sambil dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Katanya, pihak bomba kemudiannya membawa mangsa yang jatuh ke bawah jambatan pembahagi jalan menggunakan 'stretcher board' naik ke atas.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai jam 3.28 pagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram