'Sama-sama jaga rumah kita', isu sampah, vandalisme di SSI diharap tidak berulang


  • Podium
  • Isnin, 27 Feb 2023

Stadium yang dibuka pada 2020 itu cukup terkenal dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEJAYAAN Johor Darul Takzim (JDT) untuk muncul sebagai salah sebuah pasukan tempatan terbaik sememangnya cukup membanggakan ramai pihak.

Di samping berjaya melakar sejarah demi sejarah, pencapaian kelab yang juga dikenali sebagai Harimau Selatan itu juga serba sedikit membantu meningkatkan kualiti Liga Super di mata dunia.

Bagi penyokong JDT, kebangkitan menakjubkan itu adalah berpunca daripada perancangan teliti serta pelaburan besar yang dibuat pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Sejak mengambil alih pasukan Selatan tanah air tersebut pada 2012, mereka tidak lagi menoleh ke belakang apabila mudah menundukkan lawan yang dihadapi.

Usaha berkenaan dilihat tidak terhenti di dalam padang apabila pelaburan secara besar-besaran juga kerap dilakukan bagi meningkatkan imej pasukan.

1412412

Pelbagai bentuk pelaburan sudah dibuat TMJ bagi meningkatkan reputasi kelab.

Antara perubahan terbesar dilakukan TMJ adalah menerusi pembinaan Stadium Sultan Ibrahim yang terletak di Iskandar Puteri, Johor.

Bangunan berkapasiti 40,000 penonton yang dibuka pada 2020 itu dibangunkan bagi menggantikan Stadium Larkin dengan harapan untuk menampung lebih ramai penyokong dalam satu-satu perlawanan.

Selain itu, stadium yang dibina dengan kos kira-kira RM200 juta tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan serba lengkap bagi keselesaan kesemua pihak.

Namun, di sebalik kemegahan Stadium Sultan Ibrahim itu, terdapat pula aduan daripada mereka yang hadir mengenai masalah sampah selepas setiap perlawanan.

Sikap sambil lewa segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab itu serba sedikit mencalarkan reputasi JDT sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Asia.

stadium-sultan-ibrahim-jst

Stadium Sultan Ibrahim boleh dikategorikan sebagai antara yang terbaik di Asia. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kegusaran berkenaan disampaikan penyokong menerusi laman Facebook JOHORean Sport Team yang jelas kecewa dengan pemikiran mundur sesetengah penyokong Harimau Selatan.

"TMJ sudah bersusah payah untuk menaikkan nama JDT sehingga dapat membina sebuah stadium yang cukup megah ni sehingga boleh dikatakan sebagai bertaraf dunia.

"Jadi, saya harap, penyokong juga tidak kurang hebatnya kerana pihak pengurusan sudah memberi keizinan untuk membawa masuk makanan dan janganlah pula kamu semua membuang sampah merata-rata," katanya.

Meskipun isu tersebut tidak pernah digembar-gemburkan, ia serba sedikit menjatuhkan semangat penyokong untuk membanjiri stadium berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, penyokong berkenaan turut kesal terhadap sikap beberapa individu yang merosakkan fasiliti serta kemudahan disediakan.

"Ada juga saya nampak lampu LED sudah kemik dan rosak berhampiran kawasan tempat duduk penyokong. Lampu tu kan hak milik kelab, jagalah elok-elok," tegasnya.

Selain menyajikan pelbagai keselesaan buat penonton yang hadir, stadium berkenaan turut dilengkapi beberapa tarikan lain seperti kedai barangan rasmi JDT.

Difahamkan, Stadium Sultan Ibrahim bakal digunakan skuad kebangsaan ketika perlawanan persahabatan Mac depan sementara menunggu Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur siap dibaik pulih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram