Kes Covid-19 meningkat, pakar saran kembali amalkan pakai pelitup muka di tempat awam


  • Massa
  • Isnin, 17 Apr 2023

Pakar kesihatan menyarankan agar amalan pemakaian pelitup muka kembali diamalkan ketika berada di khalayak ramai ekoran peningkatan kes Covid-19 di dalam negara. — Gambar hiasan

PAKAR kesihatan awam menyarankan agar pemakaian pelitup muka kembali diamalkan di tempat awam ekoran peningkatan penularan Covid-19 sejak akhir-akhir ini di samping jangkaan aktiviti perjumpaan sosial pada perayaan Aidilfitri.

Antara mereka berisiko dijangkiti dan mendapat jangkitan semula ialah individu berisiko tinggi seperti warga emas, penghidap obesiti dan mereka dengan tahap komorbiditi tinggi serta memiliki isu berkaitan kurang daya tahun imun dengan penyakit seperti diabetes dan kanser.

“Oleh itu, mereka amat digalakkan memakai topeng muka,” kata pakar kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.

Katanya, mereka yang belum melengkapkan vaksinasi, sama ada dengan penggambilan suntikan dos utama atau penggalak juga harus memakai pelitup muka ketika berada di khalayak ramai.

“Lebih baik selamat daripada menyesal. Dapatkan vaksin untuk diri anda, termasuk dos penggalak. Jika anda berisiko tinggi, pakai topeng di kawasan awam di mana terdapat ramai orang yang berpotensi menularkan virus itu,” katanya.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka juga perlu diamalkan bagi pelajar di sekolah yang berisiko memandangkan terdapat peningkatan penularan di beberapa insitusi pendidikan di dalam negara.

“Peningkatan kes Covid-19 adalah dijangka disebabkan beberapa strain Omicron yang sangat mudah berjangkit, langkah melonggarkan pemakaian topeng dan kebebasan untuk bergerak merentas negeri dan di tempat kerja.

"Bagaimanapun, isu utama ialah sama ada peningkatan kes akan membawa kepada kemasukan ke hospital atau kematian," katanya.

PUTRAJAYA, 6 Jan -- Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyampaikan amanat kepada warga kerja kementeriannya pada majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kesihatan hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Zaliha berkata, kes pesakit mempunyai simptom ringan atau meninggal dunia adalah enam kali lebih tinggi dalam kalangan mereka yang tidak diberi vaksin berbanding kumpulan yang menerima satu dos vaksin.

Kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 13 April lalu menyatakan kes kemasukan ke hospital akibat Covid-19 meningkat sebanyak 17.6 peratus pada awal April berbanding bulan sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, 63.8 peratus daripada pesakit dijangkiti wabak itu melibatkan individu berumur 60 tahun ke atas, manakala 90.7 peratus adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai komorbiditi.

Tambahnya, kes pesakit mempunyai simptom ringan atau meninggal dunia adalah enam kali lebih tinggi dalam kalangan mereka yang tidak diberi vaksin berbanding kumpulan yang menerima satu dos vaksin.

Pakar daripada Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan Universiti Malaya, Profesor Dr Moy Foong Ming mencadangkan supaya KKM memperhebatkan mesej awam mengenai kepentingan pemakaian pelitup muka dan menggalakkan orang ramai berbuat demikian ketika berhadapan lonjakan kes.

Bagi jangkitan Covid-19 di sekolah, beliau berkata, ibu bapa tidak sepatutnya menghantar anak mereka yang menunjukkan gejala ke sekolah.

“Pihak pengurusan sekolah perlu berwaspada dengan tahap kesihatan kakitangan dan pelajar mereka. Ambil tindakan sewajarnya apabila ada kakitangan atau pelajar yang tidak sihat,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Foong Ming berpandangan tiada keperluan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana negara kini sedang dalam peralihan kepada fasa endemik.

"Kita akan hidup bersama dengan virus itu. Orang ramai sepatutnya menghayati langkah pencegahan dan melaksanakannya secara sukarela apabila berlaku lonjakan kes,” katanya.

“Sekiranya topeng diwajibkan, maka perlu ada tindakan hukuman kepada mereka yang tidak mematuhinya.

"Ini tidak akan mendidik orang ramai kerana sebaliknya mereka akan hanya memakainya kerana bimbang kemungkinan hukuman bakal dikenakan." ujarnya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar juga bersetuju bahawa pemakaian pelitup muka perlu amat digalakkan namun tidak membawa kepada keperluan untuk mewajibkannya.

"Saya fikir orang ramai tidak akan semudahnya menerima sekiranya pemakaian pelitup muka dan peraturan tambahan dikenakan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu digalakkan untuk melakukan ujian dan menjalani kuarantin kendiri sekiranya mereka menunjukkan simptom.

Coronavirus situation at Sungai Buloh Hospital. Starpic by Kamarul Ariffin /The Star/14022020

Kes kemasukan ke hospital akibat Covid-19 meningkat sebanyak 17.6 peratus pada awal April berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, pakar epidemiologi perubatan Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, langkah semasa boleh dikekalkan namun mereka yang diuji positif perlu memakai pelitup muka untuk melindungi orang lain.

“Mereka yang sakit harus tinggal di rumah, dan dikuarantin. Jika mereka perlu berada di khalayak ramai, memakai topeng adalah satu kemestian,” katanya.

Beliau menambah bahawa keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka hanya perlu dibuat apabila peningkatan kes Covid-19 memberi ancaman kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

“Buat masa ini, tiada petunjuk sedemikian, jadi tidak ada keperluan mendesak untuk mewajibkannya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran awam supaya rakyat boleh bertanggungjawab antara satu sama lain.

Menurutnya, peningkatan kes berkemungkinan besar disebabkan strain semasa yang mumdah menular.

“Secara umumnya, kita perlu lebih berhati-hati. Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk memakai pelitup di khalayak ramai, menjaga kebersihan tangan dan mengamalkan cara batuk yang betul,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram