Kononnya tawar tiket balik raya percuma, Setiausaha Politik Menteri lapor polis di Nibong Tebal


  • Tular
  • Sabtu, 15 Apr 2023

Mesej tentang penawaran tiket percuma untuk pulang beraya tular di aplikasi Whatsapp.

SEORANG Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat laporan polis di Nibong Tebal, Seberang Perai, Pulau Pinang, pada Jumaat berkenaan mesej tular kononnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan tiket penerbangan percuma dipercayai kepada golongan pendidik sempena Aidilfitri.

Menurut mesej berkenaan, tiket tersebut disediakan pada tarikh 20 April untuk perjalanan pergi dan 27 April bagi perjalanan pulang.

Individu terbabit menerusi satu laporan kepada Balai Polis Nibong Tebal memaklumkan pihaknya menerima satu mesej dalam aplikasi WhatsApp daripada seseorang yang tidak dikenalinya kira-kira pukul 7.57 petang, Khamis yang bertanyakan tentang tiket tersebut.

"Saya tidak mengetahui dan tidak meletakkan nombor telefon saya untuk dihubungi. Artikel itu tersebar luas dalam media sosial.

"Tujuan saya buat laporan bagi menafikan artikel tiket penerbangan percuma itu dan mahu rujuk pihak berkenaan," katanya dalam laporan tersebut pada Jumaat.

Sementara itu, Majoriti masih cuba menghubungi pengadu untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram