Ibu bapa tak puas hati, sekolah di Tambun teruskan aktiviti kokurikulum sepanjang Ramadan sampai anak kepenatan


  • Massa
  • Khamis, 13 Apr 2023

Keputusan sekolah terbabit meneruskan aktiviti kokurikulum ketika Ramadan mendapat bantahan daripada ibu bapa kerana ia menyebabkan pelajar perlu berada di sekolah untuk satu tempoh yang panjang. — Gambar hiasan

PIHAK pengurusan sebuah sekolah di Tambun, Perak tetap dengan pendiriannya meneruskan aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan setiap Rabu selepas waktu persekolahan meskipun terdapat ibu bapa meminta ia ditangguhkan buat sementara waktu ketika Ramadan.

Keputusan tersebut mendapat bantahan daripada ibu bapa kerana ia menyebabkan pelajar perlu berada di sekolah sehingga pukul 4 petang walaupun sesi biasa tamat pada pukul 1 tengah hari.

Seorang wakil ibu bapa yang menghubungi Majoriti memaklumkan, isu itu sudah pun diadukan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kawasan tersebut namun tiada sebarang perubahan dilakukan.

Tambahnya, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga sudah memaklum dan memberikan nasihat kepada pengurusan sekolah berkenaan isu tersebut sejak daripada minggu awal Ramadan.

Anxious Asian stress Student Sitting Examination In classroom. Mental healthcare, teen suicide, exam-oriented culture, children, teens, parents, studying. Photo: 123rf.com

Ibu bapa pelajar sekolah terbabit berpendapat langkah memanjangkan waktu di sekolah untuk aktiviti kokurikulum menyebabkan pelajar menjadi penat ketika Ramadan. — Gambar hiasan

"Ada ibu bapa memaklumkan anak-anak tidak cukup rehat dan bila balik itu mereka berada dalam keletihan disebabkan kegiatan tersebut.

"Kita ni orang dewasa pun kalau masuk kerja pukul 8 pagi sampai 6 petang masa bulan puasa pun pasti akan rasa penat, sama juga dengan pelajar sekolah. Jadi ibu bapa tengok pun kesian," dakwanya.

Menurutnya, meskipun dimaklumkan bahawa kegiatan kokurikulum dijalankan sepanjang Ramadan tidak melibatkan aktiviti berat, ia tetap memberikan kesan kepada pelajar kerana tempoh persekolahan agak panjang.

Pada masa sama, dia berkata, langkah penangguhan itu tidak sepatutnya menjadi masalah kerana pihak sekolah mempunyai lebih kurang 40 minggu lagi tempoh persekolahan untuk melaksanakan aktiviti itu yang perlu dibuat sebanyak 12 kali.

Jelasnya, difahamkan terdapat sekolah lain berdekatan yang mengambil tindakan menangguhkan kegiatan itu buat seketika semasa bulan Ramadan.

Dalam pada itu, dia memaklumkan permintaan ibu bapa agar waktu pulang ditetapkan semula daripada pukul 12.30 tengah hari kepada 12 tengah hari pada setiap Jumaat juga tidak diberikan perhatian oleh pihak pengurusan sekolah terbabit.

Katanya, permintaan itu bertujuan bagi memudahkan urusan menunaikan solat Jumaat ibu bapa dan pelajar khususnya bagi mereka yang tinggal agak jauh dari sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram