
HANYA kerana memberi teguran, sekumpulan lelaki tergamak memukul seorang wanita dan mencampaknya ke bawah jambatan di Kampung Sawah, Banting, Selangor pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai melalui panggilan MERS999 mengatakan terdengar suara orang meminta tolong di bawah jambatan tersebut.
Menurutnya, mangsa berumur 52 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank tempatan tersebut berjaya diselamatkan oleh orang awam selepas sejam berada di bawah jambatan berkenaan.
"Kejadian berpunca kerana mangsa menegur suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah di dalam rumah sewa yang didiami oleh mangsa dan suspek.
"Mangsa dipukul dan dicederakan dengan menggunakan senjata tajam serta rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan kemudian dicampakkan kira-kira setinggi 60 meter ke bawah jambatan, selain mengalami luka pada tiga jari tangan kiri, dan kesan tetakan di pergelangan tangan sama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya berjaya membuat tangkapan terhadap lima orang lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Banting bermula kira-kira jam 1 petang hingga 6 petang pada hari sama.
Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Perdana dan sebatang rotan dalam tangkapan berkenaan.
Tambah Ahmad Ridhwan, kesemua suspek berumur di antara lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala hasil saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati tiga orang suspek positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.
"Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika disabit kesalahan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram