[VIDEO] Bakar mercun tepi lebuh raya di Ampang, polis cekup pemandu lori


  • 112
  • Ahad, 16 Apr 2023

Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan lelaki tersebut membakar mercun di lebuh raya MRR2 berhadapan Petronas Tesco Ampang, Selangor.

SEORANG pemandu lori ditahan selepas membakar mercun di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhadapan Petronas Tesco Ampang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, suspek lelaki berusia 35 tahun itu diberkas kira-kira pukul 10 malam Sabtu oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Ampang Jaya.

Katanya, lelaki tersebut ditahan ketika berada di tepi jalan di Jalan Dagang, Ampang.

"Suspek membakar mercun jenis cake (138) shot kerana diminta oleh pelanggan premis milik kawannya.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala ujian air kencing adalah negatif dadah," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Sabtu, tular satu video memaparkan tindakan lelaki tersebut yang membakar mercun di atas lebuh raya yang ketika itu dilihat mempunyai aliran trafik yang agak sibuk.

Mohamad Farouk berkata, suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pada Ahad dan direman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama 4 hari sehingga Rabu.

Menurutnya kes disiasat bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 merujuk kepada bermain dan membakar mercun dan bunga api.

Katanya, hukuman Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Manakala hukuman bagi Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga satu ratus ringgit atau kedua-duanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram