[VIDEO] Suspek biadab halang solat tarawih, pecah pintu surau di Kajang sudah dibebaskan dengan jaminan polis


  • 112
  • Khamis, 13 Apr 2023

Tangkap layar video tular mengenai kejadian di surau Sg Chua, Kajang Selangor pada Ahad lalu.

SEORANG lelaki yang ditahan ekoran tindakannya menendang pintu sebuah surau hingga rosak di Sg Chua, Kajang Selangor dalam satu insiden pada Ahad lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 10.49 malam hari yang sama..

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah membuat tangkapan ke atas seorang suspek yang berusia 46 tahun bagi membantu siasatan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, tular video memaparkan tindakan lelaki tersebut dipercayai membuat kecoh dengan mengganggu jemaah yang sedang mengerjakan solat tarawih di surau terbabit.

Mohd Zaid berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek tinggal tidak jauh dari surau berkenaan menyatakan tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara surau yang kuat hingga mengganggu keluarganya termasuk jiran berhampiran.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

"Siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, kerana menyalahgunakan rangkaian dengan penyebaran video tersebut dengan niat tidak baik yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman satu tahun penjara dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Mohd Zaid berkata, kes berkenaan telah diambil tindakan oleh polis bersama dengan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat serta penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau turut menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tular, terawih, pecah pintu surau, polis, Kajang