Suami isteri cuba seludup ganja bernilai RM15,000 dari Thailand ketika solat Jumaat


  • 112
  • Sabtu, 15 Apr 2023

Sepasang suami isteri ditahan polis di Bukit Berapit, Ayer Panas Betong, Pengkalan Hulu, Perak kerana cuba menyeludup masuk dadah jenis ganja dari Thailand pada Jumaat. — Gambar hiasan

SEPASANG suami isteri ditahan selepas ditangkap cuba membawa masuk dadah jenis ganja melalui kawasan sempadan dalam satu pemeriksaan sekatan jalan raya di Bukit Berapit, Ayer Panas Betong, Pengkalan Hulu, Perak pada Jumaat.

Dalam pemeriksaan dijalankan sekitar pukul 1 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu menahan pasangan warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun tersebut.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, pemeriksaan ke atas kereta jenis Viva dinaiki menjumpai lima ketulan mampat daun kering dibalut kertas biru dan plastik lut sinar disyaki dadah jenis ganja.

Menurutnya, turut ditemui adalah satu paket plastik berisi daun kering disyaki ganja yang disorokkan di poket belakang seluar suspek.

"Dadah dianggarkan seberat lima kilogram bernilai lebih RM15,000 ini dipercayai dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia untuk diedarkan di pasaran tempatan.

"Mereka cuba alih pandangan pihak berkuasa dengan masuk ketika waktu solat Jumaat, bagaimanapun taktik itu tidak berjaya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, lelaki yang bekerja sebagai buruh itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah manakala isterinya bekerja kilang tidak mempunyai rekod kesalahan.

"Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 21 April bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram