Dapat stok dari 'Roy', polis tahan penjawat awam jual dan edar ketum di Putrajaya


  • 112
  • Khamis, 13 Apr 2023

Seorang penjawat awam didakwa menjual air ketum dengan harga RM20 sebotol di Putrajaya. — Bernama

POLIS menahan seorang penjawat awam tengah malam Khamis di Presint 9, Putrajaya kerana disyaki menjual dan mengedar air ketum di sekitar Putrajaya.

Lelaki berumur 38 tahun itu dicekup anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya semasa berada di lobi sebuah apartmen di Presint 9 kerana memiliki dua botol cecair disyaki air ketum.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi pada Khamis berkata, ketika siasatan awal, lelaki berkenaan mengaku menjual air ketum di kawasan sekitar Putrajaya pada harga RM20 sebotol.

Menurutnya, lelaki berkenaan memperoleh bekalan air ketum daripada seorang lelaki bernama 'Roy' di Kampung Labu Lanjut, Sepang, sebanyak 10 botol seminggu dengan harga RM18 sebotol.

A. Asmadi berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan jenayah narkotik dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram