TRADISI kejut sahur sepanjang Ramadan bukanlah perkara baharu dalam kalangan orang yang beragama Islam di mana-mana sahaja.
Namun, tidak semua orang boleh menerima aktiviti tersebut apatah cara yang digunakan tidak sesuai atau terlalu kuat.
Terbaharu, tular satu video memaparkan seorang warga emas mengasari beberapa remaja lelaki ekoran berang dengan tindakan mereka yang mengejutkan warga kampung untuk bersahur.
Dalam kejadian yang berlaku di salah sebuah masjid di Mertoyudan Magelang, Indonesia baru-baru ini, difahamkan sekumpulan remaja berkenaan mengejutkan warga kampung untuk bersahur menggunakan pembesar suara sehingga menimbulkan rasa kurang senang pada warga emas berkenaan.
Melalui video tular yang dimuat naik di akaun Instagram @memomedsos memaparkan warga emas lelaki yang berserban putih masuk ke dalam ruangan masjid tersebut dan mengamuk.
Dia turut dilihat mengangkat sebuah meja kecil di depan mimbar masjid sambil memarahi sekumpulan remaja tersebut.
Memetik laporan media antarabangsa, merdeka.com, warga emas tersebut berang dengan bunyi pembesar suara yang dekat dengan rumahnya.
Pada waktu kejadian, warga emas yang tidak didedahkan identitinya itu sedang mengaji dan berasa terganggu dengan suara remaja berkenaan.
Ekoran daripada tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara yang terlalu bising, dia kemudiannya pergi ke masjid dan memarahi sekumpulan remaja lelaki berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram