PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 2 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya pada hari-hari puncak bermula 20 April, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, hari-hari puncak merujuk kepada 20 hingga 21 April; 24 hingga 25 April, 29 April hingga 1 Mei serta 4 hingga 7 Mei ini.
"Ia peningkatan 20 peratus kenderaan berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa.
"Oleh itu, PLUS menyarankan agar orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuh raya kami supaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS membuat persediaan dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa di lebuh raya.
"Strategi-strategi tersebut merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat, hebahan maklumat trafik dan sebagainya," ujarnya.
Zakaria berkata, dalam memastikan aspek keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap yang baik, PLUS juga akan terus berkolaborasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya sepanjang musim perayaan.
Selain itu, PLUS turut menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) terdiri daripada PDRM, JPJ, Angkatan Pertahanan Awam (APM), St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah di 11 lokasi strategik di lebuh raya membabitkan lebih 500 petugas.
"Untuk meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian Lebuhraya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada musim perayaan ini, sebanyak 269 jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUS Ronda dan LPT2 Ronda ditugaskan menjalankan rondaan 24 jam sehari dan bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kecemasan atau kerosakan kenderaan. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding hari-hari biasa.
"PLUS juga akan turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya PLUS dalam tempoh terdekat sebagai strategi untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang pada musim perayaan ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram