SEPERTI yang diketahui, Hari Raya merupakan waktu untuk meluangkan masa dan berkumpul bersama ahli keluarga serta sahabat handai dalam mengeratkan hubungan silaturrahim.
Biasanya, tuan rumah akan menghidangkan pelbagai juadah yang sudah pasti lazat belaka dan agak sukar untuk kita menolak hidangan yang disediakan.
Namun begitu, terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti ketika berkunjung ke rumah sanak-saudara sambil meraikan sambutan Hari Raya.
Pegawai Perubatan Hospital Serdang, Dr. Faiz Farhan Jamalluddin.
Menurut Pegawai Perubatan Hospital Serdang, Dr.Faiz Farhan Jamalluddin, untuk memastikan makanan itu seimbang, ia mestilah mempunyai nutrisi yang mencukupi dari segi seratnya, kandungan protein, karbohidrat dan lemak.
"Sambutan Hari Raya di negara kita adalah antara sambutan yang paling unik dari segi jenis makanan dan pengolahan resepi harus dibuat disamping mengekalkan kelazatan rasa juadah tersebut.
"Hal ini kerana,adalah satu kesedaran yang harus diterapkan dan tanggungjawab untuk menyediakan makanan yang seimbang di Hari Raya terutamanya kepada penganjur-penganjur rumah terbuka," katanya kepada Majoriti.
Selain itu, antara cara yang mudah untuk mendisiplinkan diri daripada nafsu makan ketika lapar ialah menggunakan konsep berhenti sebelum kenyang.
Namun, konsep ini pada hari raya agak sukar diamalkan kerana ziarah dan rumah terbuka yang sudah semestinya menyediakan pelbagai makanan.
"Walaupun konsep tersebut agak sukar untuk diamalkan tetapi ianya boleh dilakukan dengan mengawal jumlah pengambilan atau porsi makanan dan lebih mengutamakan jenis makanan yang mengenyangkan.
"Pengambilan serat dan protein yang tinggi dalam setiap hidangan dapat membantu kita merasa lebih kenyang berbanding dengan pengambilan makanan yang berkarbohidrat dan gula yang tinggi," kata Dr.Faiz, 34 tahun.
Antara makanan yang akan dihidangkan semasa Hari Raya.
Di samping itu, sudah pasti tanpa kuih atau biskut raya, maka tidak lengkaplah juadah hari raya. Pengambilannya tidaklah perlu dihentikan secara menyeluruh, cuma pengambilan kuih atau biskut yang tinggi kandungan gula perlu dihadkan.
"Kepada tuan rumah yang menyediakan kuih dan biskut raya, demi tanggungjawab menyediakan makanan yang sihat dan seimbang, banyak alrernatif pemanis boleh diguna pakai sebagai pengganti gula, sebagai contoh penggunaan daun stevia dan pemanis dari monk fruit," kata Dr.Faiz yang berasal dari Kedah itu.
Tambahan pula, selain menghidangkan pelbagai jenis makanan dan manisan, sudah pasti hidangan minuman juga tidak dilupakan yang tentunya mempunyai pelbagai pilihan untuk para tetamu.
Dr.Faiz berkata, tidak salah menghidangkan pelbagai jenis air tetapi jenis air itu yang penting. Kandungan gula yang tinggi adalah punca utama sesuatu minuman itu menjadi tidak sihat dan memudaratkan.
"Sekali lagi saya mencadangkan pemanis gantian yang lebih sihat seperti daun stevia. Supaya kita masih dapat menikmati pelbagai jenis minuman tanpa meletakkan kandungan gula yang tinggi sebagai pemanis," katanya.
Oleh itu, semua orang dinasihatkan agar mengawal pengambilan makanan dan minuman sepanjang perayaan tersebut berlangsung agar tidak memudaratkan kesihatan diri sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram