BULAN Ramadan sudah pasti memberi pengajaran kepada setiap orang terutamanya umat Islam dalam mengawal pengambilan makanan seharian.
Hal ini kerana, berpuasa juga merupakan latihan untuk mengamalkan diet seimbang serta menurunkan berat badan bagi menjamin kesihatan yang baik dengan elakkan makan berlebihan.
Namun begitu, semua golongan masyarakat perlu sentiasa mengekalkan tahap kesihatan bukan sahaja semasa bulan Ramadan malah selepas berpuasa juga perlu dipratikkan.
Menurut Pegawai Perubatan Klinik Khalifah Bangi, Dr. Noor Athirah Liyana Salleh, kesedaran untuk tidak terlalu mengambil makanan tidak sihat seharusnya bermula dari awal sebelum berpuasa meskipun setelah berakhirnya bulan Ramadan.
"Paling penting adalah keupayaan orang ramai dalam mengenal pasti jenis pemakanan sihat dan yang tidak sihat. Ini penting agar tahap kesihatan kita dapat dikekalkan sepanjang hidup bukan sahaja pada bulan puasa," katanya kepada Majoriti.
Pegawai Perubatan Klinik Khalifah Bangi, Noor Athirah Liyana Salleh.
Di samping itu, seperti yang diketahui, bulan Ramadan tidak mempunyai makanan khusus yang sesuai kerana apa yang berbeza ialah waktu dan cara pemakanan kita.
Oleh itu, pengambilan makanan yang sesuai selepas bulan puasa amat penting dan mengandungi nutrien yang mencukupi dalam satu hidangan.
"Sama ada bulan puasa atau tidak, paling utama dalam pengambilan makanan adalah jenis nutrien yang betul dalam satu hidangan iaitu protein, karbohidrat dan lemak dengan mengambil setiap satu nutrien dalam jumlah atau porsi yang betul. Tidak lupa juga banyakkan minum air kosong dan kurangkan pengambilan makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula (manis).
"Selain itu, berpuasa membuktikan kita tidak perlu makan sepanjang hari untuk terus hidup dan mengekalkan kesihatan, ini bermaksud kita masih sihat dan bertenaga walaupun berpuasa sepanjang hari. Inilah yang dinamakan ‘Tarbiah Ramadan’ iaitu kita membawa cara dan waktu pemakanan sepanjang bulan puasa dan dipraktikkan selepas bulan puasa," kongsinya.
Di samping itu, senaman yang sesuai dalam membantu agar kekal sihat tanpa perlu mengeluarkan modal tinggi untuk setiap lapisan masyarakat dan umur adalah berjalan. Ini kerana, berjalan adalah senaman atau aktiviti fizikal yang paling paling mudah tetapi kita terlepas pandang dan abaikan.
"Walaupun ia agak remeh tetapi berjalan merupakan senaman yang paling sesuai dilakukan kerana ia adalah aktiviti yang dapat membakar kalori untuk mengurangkan atau mengekalkan berat badan ideal, mengurangkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.
"Tambahan pula, berjalan dapat mengurangkan tekanan mental, memberikan ketenangan kerana berjalan memberi kita masa untuk berfikir sambil melihat keindahan alam," kata Dr. Noor Athirah yang berasal dari Kelantan itu.
Aktiviti berjalan merupakan senaman paling mudah dilakukan oleh semua lapisan umur.
Menerusi perkongsiannya, kebiasaannya ramai pesakit kronik seperti kencing manis dan buah pinggang akan datang mendapatkan rawatan pada musim raya kerana tidak menjaga pengambilan makanan ketika beraya menyebabkan komplikasi seperti paras gula tinggi dan air berlebihan di dalam badan (fluid overload).
"Pesakit sendiri perlu sedar dan menerima bahawa obesiti, kencing manis atau penyakit kronik lain adalah satu penyakit yang perlu dikawal dengan sebaiknya supaya kita dapat menjaga kualiti hidup yang baik. Penerimaan bahawa obesiti itu adalah sesuatu yang tidak sihat dan memudaratkan diri kita adalah langkah pertama dalam membuat perubahan," kongsinya.
Oleh itu, pegawai perubatan berusia 31 ini, turut menasihatkan orang ramai supaya menganggap tubuh badan sebagai amanah paling besar dan berharga yang Tuhan anugerahkan kepada kita. Sebelum menjaga atau mengambil berat terhadap orang lain, wajib menjaga diri sendiri terlebih dahulu.
"Saya sebagai doktor, saya sendiri mestilah mengutamakan kesihatan diri sebelum menjalankan rutin harian merawat pesakit, fokuskan hidup kita untuk menjaga kesihatan diri, buang tabiat tidak baik yang kita sedia maklum akan merosakkan diri dan itulah amanah yang dipertanggungjawabkan dan antara perkara akan disoal oleh pencipta kita nanti," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram