Calon tidak sesuai ajar subjek tertentu punca kekurangan guru


  • Massa
  • Khamis, 06 Apr 2023

Hanya kerana seseorang guru itu bercakap bahasa Inggeris dengan baik tidak bermakna mereka mampu mengajar subjek  berkenaan. — Gambar Hiasan

PELBAGAI masalah yang dihadapi sistem pendidikan negara menjadi antara faktor yang menyumbang kepada isu kekurangan guru bagi mata pelajaran tertentu pada ketika ini.

Pesara guru, Dr Devi Arumugam berkata, sistem pendidikan yang kurang berkesan menyumbang kepada isu calon yang tidak sesuai dilatih untuk mengajar mata pelajaran ini.

"Selepas bergelut selama beberapa tahun, mereka akhirnya meninggalkan profesion perguruan sekali gus mengurangkan bilangan guru yang dilatih untuk mengajar mata pelajaran berkenaan," katanya.

Menurut Devi yang mempunyai pengalaman mengajar selama 28 tahun turut mengaitkan masalah tersebut dengan sistem pemarkahan yang sangat longgar yang digunakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris.

Menurut Devi yang juga merupakan pemeriksaan kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ketua pasukan untuk Bahasa Inggeris di bawah Lembaga Peperiksaan Malaysia selama 20 tahun berasakan pelajar yang mempunyai penguasaan baik diberi markah yang tinggi kerana mereka adalah antara yang terbaik daripada yang paling teruk.

"Jadi, apabila pelajar ini pergi ke kolej dan universiti, mereka diberi bahasa Inggeris sebagai pilihan utama mereka kerana persepsi mereka dalam bidang itu dan seterusnya dihantar sebagai guru Bahasa Inggeris," tambah Devi, yang mempunyai pengiktirafan Doktor Falsafah (PhD) dalam Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Devi yang turut mempunyai pusat bahasanya sendiri, mengimbau kembali masa dua pelajar universiti awam yang mengikuti TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) datang ke pusatnya untuk mendapatkan bantuan.

"Kedua-dua pelajar ini memberitahu saya mereka mengalami kesukaran dalam kuliah dan meminta nasihat. Saya kemudiannya meminta mereka menulis esei setiap satu untuk saya nilai.

“Saya terkejut apabila melihat tahap penguasaan linguistik mereka setaraf dengan pelajar tingkatan dua atau tingkatan tiga. Mereka inilah yang akan dihantar ke sekolah menengah untuk mengajar bahasa Inggeris,'' katanya.

Kementerian Pendidikan perlu merombak keseluruhan sistem pendidikan negara dengan menaik taraf tahap pemarkahan bagi mata pelajaran. — Bernama

Kementerian Pendidikan perlu merombak keseluruhan sistem pendidikan negara dengan menaik taraf tahap pemarkahan bagi mata pelajaran. — KPM

Tambah Devi lagi, isu kekurangan tenaga kerja itu menimbulkan banyak beban kepada pelajar dan guru.

Katanya, ibu kepada salah seorang pelajarnya, yang merupakan seorang guru Geografi, terpaksa mengajar bahasa Inggeris di sekolahnya.

"Guru itu tidak tahu apa-apa dan bergelut setiap hari. Hanya kerana seseorang itu bercakap bahasa Inggeris dengan baik tidak bermakna mereka akan dapat mengajar subjek itu.

"Terdapat metodologi dalam mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan melainkan anda dilatih di peringkat kolej atau pengajian tinggi, anda akan terlepas pandang tentang perkara ini,'' tambahnya.

Devi berkata, Kementerian Pendidikan perlu merombak keseluruhan sistem pendidikan negara dengan menaik taraf tahap pemarkahan bagi mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris agar setanding dengan sistem pemarkahan ketat yang diberikan kepada Bahasa Melayu di peringkat SPM.

Sementara itu, seorang lagi pesara guru, SC Ng berpendapat masalah kekurangan guru adalah kerana ramai guru meninggalkan profesion terlalu cepat.

Katanya, hal itu terjadi mungkin kerana bidang perguruan bukanlah profesion pilihan atau minat guru-guru ini.

"Mereka boleh mendaftar untuk menjadi cikgu atau pergi mengajar selepas tamat pengajian kerana itu adalah satu-satunya pilihan yang ada kepada mereka pada masa itu.

"Namun, apabila mereka tidak dapat menerimanya lagi atau mencari sesuatu yang lebih disukai, mereka meninggalkan dan mewujudkan kekurangan guru untuk mata pelajaran berkenaan,'' kata Ng, yang bersara kira-kira sedekad lalu selepas mengajar selama lebih 30 tahun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram