Hanya terhad untuk 'android', pengguna iOS belum boleh bayar zakat guna Fasstap di PPZ-MAIWP


  • Massa
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Abdul Hakim (tengah) dan Johan Zep (kanan) menunjukkan demonstrasi pembayaran tanpa tunai menggunakan aplikasi Fasstap selepas Majlis Pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat Tap On Phone Menggunakan Fasstap di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur pada Jumaat.

PENGGUNA sistem operasi telefon iOS masih belum boleh membayar zakat fitrah menggunakan aplikasi Fasstap yang diperkenalkan oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Jumaat.

Hal ini demikian kerana kaedah pembayaran tersebut menggunakan sistem Komunikasi Medan Dekat (NFC) yang hanya boleh digunakan oleh pengguna peranti Android.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, aplikasi bayaran tanpa tunai tersebut masih dalam peringkat ujian rintis dan akan ditambah baik jika penggunaannya lancar dan mendapat sambutan daripada pembayar-pembayar zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kita akan pantau dalam masa empat hari ini juga ada penambahbaikan kepada sistem.

"Kalau ia berjaya, kita akan laksanakan sistem tersebut secepat mungkin," katanya selepas Majlis Pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat Tap On Phone Menggunakan Fasstap di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, kaedah pembayaran menggunakan sistem Tap On Phone tersebut bukan sahaja lebih cekap dan cepat, malah pembayar tidak perlu menunggu lama untuk membayar zakat dan mendapat resit secara emel atau sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, ujian rintis penggunaan sistem berkenaan dilaksanakan di tiga lokasi terpilih, iaitu di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP, Masjid Al-Syakirin di KLCC dan Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

"Jadi kami harap perkhidmatan ini bukan hanya tertumpu semasa ujian rintis selama beberapa hari ini, tapi pada masa akan datang kami boleh gunakan untuk menerima apa jua bentuk pembayaran khususnya zakat harta, fitrah dan wakaf," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Sektor Kerajaan dan Awam Fass Payment Solutions Sdn. Bhd. (Fasspay), Johan Zep Md Yusof berkata, pembayaran zakat fitrah menggunakan aplikasi Fasstap tersebut hanya mengambil masa sehingga dua saat untuk setiap transaksi pembayaran.

Beliau berkata, amil-amil akan memuat naik aplikasi Fasstap dalam peranti mereka yang boleh menggantikan terminal kad supaya pembayar zakat hanya perlu sentuh telefon pintar mereka pada peranti tersebut untuk buat pembayaran.

"Dengan kaedah pembayaran tanpa tunai ini, wang yang dikutip oleh amil juga dapat dikurangkan jadi kita boleh kurangkan masalah berkaitan keselamatan mereka mengendalikan wang zakat.

"Jadi wang yang dikutip menggunakan sistem Fasstap ini akan terus masuk ke akaun PPZ-MAIWP, manakala pembayar zakat akan mendapat resit yang menunjukkan nama amil dan PPZ-MAIWP," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram