[VIDEO] Saya masih dihantui insiden itu — Sam Ke Ting


  • Massa
  • Selasa, 11 Apr 2023

Sam Ke Ting membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa sebaik dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Selasa. — The Star

SAM Ke Ting kini merupakan seorang wanita bebas berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa yang membebaskannya daripada kesalahan melanggar lapan kanak-kanak menunggang 'basikal lajak' pada enam tahun lalu.

Namun, menurutnya, keputusan itu tidak bermakna mimpi ngerinya sudah berakhir.

Kerani berusia 28 tahun itu berkata, dia masih dihantui kejadian yang meragut nyawa lapan remaja berkenaan.

Ketika ditemui pemberita, Sam berjumpa dengan keluarga mangsa untuk memohon maaf dan menyebut nama mereka satu persatu.

"Saya akui saya yang memandu dan menyebabkan kematian anak-anak kesayangan awak. Bagaimanapun, saya tidak berniat untuk menyebabkan kemalangan itu berlaku," katanya pada Selasa.

Memakai baju hitam dengan seluar kelabu muda, Sam selalu memikirkan bagaimana kehidupan semua kanak-kanak itu bersama keluarga masing-masing sepanjang enam tahun turun naik mahkamah.

“Tetapi apa yang saya katakan di sini, mungkin tidak cukup untuk membawa kedamaian dalam hidup anda yang saya percaya sedang bergelut dengan perasaan yang tidak sepatutnya dirasai.

“Kata-kata saya mungkin tidak mengembalikan mereka kepada anda tetapi saya ingin mengatakan bahawa saya juga, memikul beban tragedi ini.

"Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf, walaupun saya sedar dan faham mungkin sukar untuk awak memaafkan saya," katanya.

Sam kemudian mengucapkan terima kasih kepada panel hakim kerana mendengar pembelaannya dalam kes itu sebelum meninggalkan kompleks mahkamah.

Pada Selasa, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan Sam dan mengetepikan sabitan dan hukumannya dalam kes itu atas alasan bahawa pertuduhannya adalah tidak benar.

Hakim lain dalam panel itu ialah Hakim Hashim Hamzah dan Azman Abdullah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram