[VIDEO] Van sekolah terbalik, 3 pelajar parah dirempuh lori balak hilang kawalan di Gua Musang


  • 112
  • Selasa, 11 Apr 2023

Keadaan sebuah van membawa pelajar sekolah yang dirempuh lori balak di Gua Musang, Kelantan pada Isnin. — Facebook/JBPM Gua Musang

SEBUAH van sekolah dinaiki 15 murid terlibat dalam kemalangan selepas diseret sebuah lori balak sejauh 19 meter di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Bandar Baru, Kelantan pada Isnin.

Tiga daripada pelajar terbabit dilaporkan cedera parah dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 2 petang tersebut.

Ketika kejadian, lori balak itu dipercayai cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelum merempuh van sekolah dan tiga kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian sebuah kereta jenis Kia Spectra yang keluar simpang untuk membelok ke kanan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kereta terbabit dilanggar oleh sebuah lori muatan balak sebelum kenderaan berat itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Lori balak itu kemudiannya merempuh tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Myvi, Honda Civic dan sebuah van Nissan Urvan yang dinaiki 15 pelajar dan murid berusia dalam lingkungan tujuh sehingga 17 tahun itu sebelum diseret sejauh 19 meter dan terbalik.

“Siasatan mendapati, van tersebut sedang dalam perjalanan mengambil murid dan pelajar yang baru habis waktu persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2 di Gua Musang, Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Choon Foo memberitahu, tiga orang daripada penumpang van berkenaan mengalami kecederaan parah iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun patah tulang selangka dan seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun mengalami darah beku pada dahi.

Katanya, selain itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun pula terkehel tulang paha kanan manakala mangsa yang lain hanya cedera ringan.

“Lelaki warga emas berusia 67 tahun yang merupakan pemandu kereta jenis Kia Spectra cedera pada bahagian mulut dan kepala.

“Semua mangsa terlibat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan siasatan lanjut masih dijalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram