Langgar belakang lori, 3 maut kemalangan di Tanjung Musang


  • 112
  • Rabu, 12 Apr 2023

Keadaan salah sebuah daripada empat motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan dengan lori di Tanjung Musang pada Selasa. — Orang Awam

TIGA maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan yang melibatkan empat motosikal dengan sebuah lori berhampiran stesen minyak di Tanjung Musang, dekat Pokok Sena,Alor Setar, Kedah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua mangsa lelaki yang maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan itu berusia antara 19 hingga 23 tahun manakala mangsa yang cedera parah berusia 14 tahun.

"Polis menerima maklumat berhubung kemalangan yang melibatkan empat motosikal dengan sebuah lori kira-kira pukul 10.50 malam (Selasa) yang berlaku berhampiran sebuah stesen minyak. Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari arah Alor Setar menghala ke Jabi, Pokok Sena.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 56 tahun yang baru selesai mengisi minyak sedang bergerak di lorong kiri jalan, secara tiba-tiba dilanggar di bahagian belakang oleh empat motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Shukri berkata akibat pelanggaran itu, tiga lelaki yang menunggang motosikal jenis SYM VF3i, Honda RS-X dan Yamaha Y15ZR maut di tempat kejadian manakala mangsa lelaki yang berusia 14 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X cedera di muka dan tangan.

"Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera parah menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram