[VIDEO] Kokpit berasap sebelum pesawat terhempas, seorang terkorban dan 2 parah


  • Benua
  • Isnin, 06 Mac 2023

Keadaan pesawat tersebut yang musnah selepas terhempas.

SEORANG terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila sebuah pesawat terhempas di Long Island, New York, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Menerusi video tular, pesawat itu dilihat terhempas sebelum terbakar berhampiran Fifth Street and North Wellwood Avenue di Lindenhurst.

Pada masa sama, kepulan asap hitam dilihat naik ke udara selepas pesawat itu terhempas di belakang sebatang pokok.

Jurucakap Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan berkata, juruterbang terbabit melaporkan bahawa, terdapat kemunculan asap di kokpit ketika pesawat tersebut menghampiri Lapangan Terbang Republik.

Seorang penduduk tempatan, Ken Defreitas berkata, kamera di pintu kediamannya sempat merakam detik-detik mencemaskan itu.

"Saya mendengar bunyi dentuman dan ketika itulah orang ramai memberitahu bahawa terdapat pesawat terhempas.

"Saya pergi ke luar dan melihat asap hitam," katanya yang juga seorang sukarelawan Jabatan Bomba West Babylon.

Sementara itu, pihak polis berkata, seorang mangsa dilapor meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Stony Brook dengan helikopter polis.

Timbalan Penyelaras Perkhidmatan Bomba, Penyelamat dan Kecemasan Daerah Suffolk, Jamie Atkinson berkata, mangsa melecur tahap ketiga.

Pada masa sama, tiada individu lain dilaporkan cedera di darat, manakala identiti mangsa di dalam pesawat masih belum didedahkan.

Pesawat itu dikenal pasti sebagai Piper PA 28.

Polis berkata, mereka menutup jalan di lokasi itu semasa melakukan siasatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram