Warga emas OKU rentung dalam bilik air, rumah kedai 2 tingkat hangus terbakar di George Town


  • 112
  • Rabu, 12 Apr 2023

Seorang warga emas lelaki (OKU) dilaporkan maut dalam satu kejadian kebakaran di George Town, Pulau Pinang pada awal pagi Rabu. — Facebook/JBPM Pulau Pinang

SEORANG lelaki dipercayai warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Seri Bahari, George Town, Pulau Pinang awal pagi Rabu.

Mayat mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan di atas lantai di dalam bilik air tingkat bawah rumah berkenaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai Mohd Shafie Mohamad Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 pagi dan jentera pertama terus ke lokasi kebakaran.

"Ketika pihak bomba tiba api sedang marak membakar rumah kedai dua tingkat dan berdasarkan maklumat awal yang diterima terdapat seorang penghuni terperangkap di dalam premis itu.

"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran rumah kedai berkeluasan 130 meter persegi itu pada pukul 4.43 pagi daripada merebak ke premis lain dan api dipadam sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Mohd Shafie berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pemilik premis bahawa kedai berkenaan tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik.

"Kemungkinan ada sumber lain iaitu penggunaan cahaya persendirian seperti lilin yang dipercayai menjadi punca kebakaran.

"Premis berkenaan dipercayai digunakan bagi menyimpan barangan lusuh dan kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70 peratus," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, deretan rumah kedai tersebut dimiliki sebuah persatuan dan premis nombor enam yang terbakar itu disewakan kepada seorang lelaki berusia 65 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak lima tahun lepas.

Katanya, pengawal keselamatan itu kemudian menyewakan pula beberapa bilik dalam rumah kedai tersebut kepada orang lain dan salah satunya kepada seorang lelaki berusia lingkungan 70-an sejak setahun lepas dengan kadar sewa RM200 sebulan.

"Butir-butir penyewa itu telah diperolehi, namun setakat ini saya belum dapat mengesahkan bahawa mangsa yang meninggal dalam kebakaran tersebut adalah penyewa lelaki Melayu yang berusia lingkungan 70-an berkenaan.

"Pihak polis masih berusaha untuk mengesahkan identiti mangsa memandangkan tiada sebarang pengenalan diri dijumpai pada mangsa. Siasatan punca kebakaran masih dalam tindakan pihak bomba," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram