Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan percuma mulai Isnin sempena Aidilfitri


  • Primer
  • Ahad, 09 Apr 2023

Puspakom menawarkan inisiatif pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma sempena sambutan perayaan Aidilfitri, mulai Isnin hingga 20 April ini. — Bernama

PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma kepada semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian bermula Isnin hingga 20 April sebagai langkah memastikan keselamatan pemanduan pada Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata, pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma boleh hadir secara terus ke mana-mana cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali Shah Alam (Selangor), Taman Bukit Maluri (Kuala Lumpur) dan Pasir Gudang (Johor) dari 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, Unit Pemeriksaan Bergerak juga ditawarkan bagi pemeriksaan percuma di beberapa lokasi terpilih yang disenaraikan dalam laman web www.puspakom.com.my atau Facebook, Puspakom Sdn Bhd.

Menurut Mohammed Shukor, pemeriksaan secara sukarela itu tertumpu kepada aspek keselamatan termasuk pemeriksaan brek, pelincir sisi, tayar, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan serta cermin gelap.

"Kempen ini bertujuan membantu pemilik kenderaan mengetahui kondisi kenderaan mereka melalui pemeriksaan yang menggunakan peralatan komputer, yang seterusnya maklumat ini mereka boleh gunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram