SEORANG lelaki mengaku bersalah atas tindakannya melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik jirannya dalam kejadian di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Jenayah, Shah Alam, Selangor.
"Suspek mengaku salah terhadap pertuduhan dan hukuman denda Mahkamah sebanyak RM3,300.00.
"Suspek gagal membayar denda Mahkamah dan sedang ditahan di Penjara Kajang bagi menjalankan hukuman penjara selama enam bulan," katanya dalam satu kenyataan.
Keadaan cermin kereta mangsa ekoran perbuatan lelaki berkenaan. — Facebook/NurJannahSabaruddin
Baru-baru ini, tular satu video berdurasi 45 saat memaparkan perbuatan seorang lelaki memecahkan cermin kereta dipercayai milik jirannya.
Dalam pada itu, Wan Azlan berkata, susulan laporan dibuat pengadu seorang wanita yang juga jiran suspek, polis bertindak menahan lelaki terbabit di tempat kejadian dan merampas sebatang kayu digunakan suspek dalam insiden tersebut.
"Hasil siasatan mendapati punca kejadian ini berlaku disebabkan suspek mengalami tekanan jiwa selepas hilang pekerjaan dan melepaskan geram kerana mengadu rumah pengadu selalu membuat bising.
"Suspek tidak mempunyai pekerjaan dan memiliki rekod jenayah," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram