Caj RM120 gunting rambut pelancong melampau, burukkan imej negara — Salahuddin


  • Massa
  • Selasa, 11 Apr 2023

Salahuddin (tengah) bermesra dengan pemandu dan penghantar makanan Grab Malaysia selepas Majlis Penyerahan Bakul Rahmah Sumbangan Grab Malaysia kepada Rakan Pemandu dan Penghantar Grab di Grab Driver Centre (GDC) Axis, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengusaha atau peniaga yang mengenakan caj melampau untuk mengambil peluang untuk meraih keuntungan kepada pelancong dan rakyat amnya.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu sebuah kedai gunting rambut di Kuala Lumpur yang didakwa mengenakan bayaran sehingga RM120 kepada dua orang pelancong untuk mendapatkan perkhidmatan di premis tersebut.

Menurutnya, pegawai KPDN telah diarahkan untuk pergi menyiasat premis tersebut pada Selasa untuk memastikan dakwaan berkenaan.

"Jika benar, kita akan pastikan mereka diambil tindakan tegas kerana mereka bukan sekadar mengambil keuntungan melampau, tapi ia juga mencemarkan nama baik Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang sepatutnya menawarkan perkhidmatan terbaik pada harga berpatutan.

"Jangan kenakan caj atau mengambil peluang untuk meraih keuntungan secara melampau. (Jika ia berlaku) Kita terpaksa menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 terhadap mana-mana yang melampau," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakul Rahmah Sumbangan Grab Malaysia kepada Rakan Pemandu dan Penghantar Grab di Grab Driver Centre (GDC) Axis, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

file7pq3x2cca0jz6qauft7

Penghantar Grab Malaysia menerima Bakul Rahmah selepas Majlis Penyerahan Bakul Rahmah Sumbangan Grab Malaysia kepada Rakan Pemandu dan Penghantar Grab di Grab Driver Centre (GDC) Axis, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin turut memaklumkan tiada kenaikan barangan asas untuk membuat biskut raya dikesan menjelang Aidil Fitri ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan KPDN akan mengumumkan senarai barangan yang akan dimasukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada Rabu sebagai persediaan menjelang Syawal.

"Saya tidak nampak kenaikan harga pada barang asas, tapi yang saya boleh yakinkan ialah harga komponen (dalam pembuatan biskut raya) seperti telur, tepung gandum, gula, dan majerin adalah barangan kawalan yang tidak mungkin naik kerana kita periksa harganya setiap hari.

"Disebabkan ia adalah barangan kawalan, tiada peniaga yang berani menaikkan harga kecuali mereka akan diambil tindakan," katanya.

Majlis pada Selasa menyaksikan penyerahan Bakul Rahmah kepada 50 orang pemandu dan penghantar makanan yang berdaftar di bawah Grab Malaysia.

Salahuddin berkata, Bakul Rahmah sumbangan Jaya Grocer dan Grab Malaysia mengandungi keperluan memasak dan barangan keperluan menjelang Aidilfitri tersebut akan turut diperluaskan kepada 80,000 ahli aktif Grab Malaysia di seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram