[VIDEO] Farid Kamil tawar 'hadiah' lebih RM300,000 untuk pujuk Diana Danielle


Farid Kamil menawarkan empat perkara sebagai hadiah bagi memujuk semula isterinya, Diana Danielle dan memulihkan konflik rumah tangga mereka.

DEMI menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak 2012, pelakon dan pengarah, Farid Kamil menawarkan hadiah berjumlah lebih RM300,000 kepada isterinya, Diana Danielle.

Terdapat beberapa perkara dalam tawaran tersebut iaitu sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000, bayaran nafkah (Mac hingga Jun 2023) RM40,000, barang kemas berharga RM10,700 dan bayaran balik tiket mengerjakan Umrah yang sepatutnya hadiah sudah bertukar menjadi hutang bernilai RM44,000.

"Saya Farid Kamil Zahari dengan setulus hati di bulan Ramadan penuh barakah ini, ingin menawarkan kepada isteri saya, Diana Danielle Danny Beeson tawaran seperti berikut sebagai usaha saya menyelamatkan keluarga yang amat saya sayangi," ujar Farid.

majoriti2023 (49)

Farid sebelum ini pernah cuba memujuk isterinya dengan memberikan sejambak bunga dan set barang kemas, namun hadiahnya itu ditolak Diana.

Farid, 42, hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada Selasa bagi menjalani proses sulh iaitu perbincangan mencapai kata sepakat antara kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun, Diana, 32, tidak hadir pada prosiding tersebut dan hanya diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Sementara Farid yang hadir bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan mengharapkan agar tawaran tersebut dapat menawan kembali hati isterinya.

Sebelum ini, Diana memfailkan permohonan cerai terhadap Farid dengan alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan.

Bagaimanapun pelakon filem 7 Perhentian itu enggan melafazkan cerai selain mengakui masih menyayangi isterinya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram