MENJELANG perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, orang ramai sudah mula berpusu-pusu untuk mendapatkan tiket bas bagi perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Warga kota khususnya sudah mula membuat perancangan untuk pulang ke kampung dan pengangkutan bas ekspres merupakan antara pilihan utama masyarakat Malaysia.
Namun, bulan Ramadan yang baru sahaja memasuki minggu pertama menyaksikan stesen bas sudah mula dipenuhi dengan mereka yang mahu mendapatkan tiket bas sebagai persiapan awal untuk menyambut perayaan bersama keluarga.
Di sebalik kemeriahan itu, isu ulat tiket pula menjadi topik perbualan ramai dengan kegiatan terbabit dikatakan sudah mula dijalankan oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab.
Bukan satu perkara baharu, isu tersebut kian berlarutan sejak beberapa tahun sebelum dengan golongan pelajar menjadi sasaran pihak berkenaan untuk meraih pendapatan lebih menerusi jualan tiket secara haram.
Mengulas lanjut isu terbabit, jurucakap Unit Aduan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, kegiatan tersebut sudah berlarutan sejak sekian lama dan masih berlarutan sehingga kini.
"Isu ulat tiket berlaku bila sambutan perayaan tiba dan orang ramai terpaksa beli dengan harga tinggi daripada individu berkenaan.
"Pantauan akan dibuat di beberapa stesen bas yang terkesan khususnya di kawasan bandar yang menjadi destinasi ramai untuk pulang ke kampung.
"Selain 'ulat tiket', pengusaha syarikat bas ekspres juga akan dipantau dari semasa ke semasa kerana ada di antara mereka yang mengambil kesempatan dalam situasi seperti ini," ujarnya kepada Majoriti.
Berdasarkan modus operandi, ada pengusaha syarikat bas dikatakan sengaja menyimpan lebihan tiket dan menjualnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan harga tinggi dan secara tidak langsung mengakibatkan penumpang tiada pilihan lain selain membeli daripada 'ulat tiket'.
Namun, segalanya masih di bawah siasatan dan belum ada sebarang laporan rasmi dikeluarkan pihak berwajib berhubung isu tersebut.
Memetik laporan The Star, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia, Datuk Ashfar Ali berkata, beberapa syarikat bas telah mencapai kapasiti maksimum dan kebanyakan permintaan adalah untuk negeri di utara dan pantai timur.
"Dua minggu lalu, beberapa syarikat bas telah memberitahu saya bahawa mereka sama ada hampir atau sepenuhnya ditempah untuk sambutan 1 Syawal.
"Sebilangan daripada mereka sedang mempertimbangkan untuk menempatkan lebih banyak bas tetapi pada masa ini ia tidak dijamin kerana kekurangan pemandu bas," katanya.
Isu kekurangan tiket bas menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal tiba nanti semakin mendapat perhatian pihak berwajib dengan kesalahan bukan sahaja diletakkan kepada 'ulat tiket', malah pengusaha syarikat bas juga akan turut dipantau dalam masa yang sama.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan isu terbabit diminta untuk terus melaporkan kepada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia atau Jabatan Pengangkutan Malaysia (JPJ) bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram