Zahid Hamidi hantar representasi gugur pertuduhan, perbicaraan ditangguh ke 1 Ogos


Ahmad Zahid ketika menghadiri sebutan perbicaraan membela dirinya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. — Bernama

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya pertuduhan rasuahnya dalam perbicaraan membabitkan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi (YAB) digugurkan.

Peguamnya, Hamidi Mohd Noh memberitahu mengenai perkara itu kepada hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mempengerusikan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, sambil turut memetik "fakta dan bukti baharu" dalam kes berkenaan.

Hamidi turut memohon supaya perbicaraan yang sepatutnya disambung semula pada Isnin ditangguhkan kerana perkembangan terkini itu menunggu keputusan mengenai representasi berkenaan.

Menurut Hamidi, surat representasi yang mengandungi lebih 200 muka surat itu ditujukan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sendiri dan pihak pendakwaan perlu menelitinya.

Katanya, pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima surat representasi panjang lebar itu, yang menurutnya mengandungi "isu rumit".

Beliau juga mengesahkan pihak pendakwaan diarahkan tidak membantah penangguhan.

Hakim kemudian bertanya kepada Timbalan Pendakwa Raya tentang masa diperlukan untuk mengkaji dan memutuskan representasi.

Abdul Malik menjawab bahawa Pejabat Peguam Negara turut menerima surat dilampirkan pada representasi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan ia akan menyiasat isu baharu dibangkitkan dalam pembelaan Ahmad Zahid.

Beliau berkata, pihak pendakwaan tidak menerima sebarang maklumat mengenai siasatan tetapi memerlukan keputusannya untuk memutuskan representasi berkenaan.

"Kami tidak tahu sama ada siasatan telah bermula atau sebaliknya, (tetapi) untuk melengkapkan keseluruhan proses, kami memerlukan hasil siasatan," kata Abdul Malik.

Hakim Sequerah kemudian membenarkan penangguhan itu.

Beliau menetapkan 1 Ogos ini untuk kesemua pihak terbabit memaklumkan kepada mahkamah mengenai keputusan representasi itu.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB, iaitu sebuah yayasan kebajikan yang ditubuhkannya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram